Tuesday, 20 December 2011

Dakwat Kekal Pastikan Ketelusan, Kata Pensyarah


SHAH ALAM, 20 DIS : Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk menggunakan dakwat kekal 'silver nitrate' pada pilihan raya umum ke-13 akan datang disifatkan sebagai langkah terbaik untuk memastikan ketelusan dan menambah kredibiliti proses demokrasi di negara ini.
Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Univerisiti Sains Malaysia, Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, langkah tersebut akan mengatasi masalah penipuan yang sering menjadi rungutan pembangkang.

"(Penggunaan dakwat kekal) untuk mewujudkan satu proses pilihanraya yang telus dan salah satu cara untuk menggelakkan penipuan dengan menggunakan dakwat dan ini telah diamalkan di negara-negara Barat dan India. (Kaedah ini) berjaya dan perkara ia bukan perkara baru dalam dunia politik negara demokrasi cuma di Malaysia saja yang dianggap baru," katanya memberitahu Antarapos.com.

Suruhajaya Pilihan Raya(SPR) hari ini memutuskan untuk menggunakan dakwat kekal 'silver nitrate' pada pilihan raya umum ke-13 akan datang bagi mengelakkan masalah pengundi mengundi lebih daripada satu kali.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata dakwat yang bakal digunakan adalah sama yang di pakai di negara-negara Islam, justeru beliau tidak menjangka sebarang bantahan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Abdul Aziz juga mengumumkan bahawa semua anggota polis, tentera dan Pasukan Gerakan Am termasuk keluarga mereka akan mengundi lebih awal kecuali jika mereka sedang bertugas dan memohon untuk mengundi secara pos.

Timbalan Pengerusi SPR  Wan Ahmad Wan Omar berkata dakwat itu akan kekal pada jari selama seminggu.

Menurut Atory lagi, kaedah yang bakal dilaksanakan ini bukan sahaja memberikan faedah kepada kedua-dua parti politik malah dapat meningkatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap SPR yang sebelum ini sering didakwa berpihak kepada parti pemerintah Umno-Barisan Nasional(BN).

"SPR sebagai sebahagian badan bebas, oleh itu sudah menjadi tugas mereka untuk memperbaiki serta menambah baik proses pilihan raya di negara kita dari semasa ke semas,"katanya.

Penggunaan dakwat kekal adalah antara syor Jawatankuasa Parlimen Mengenai Penambahbaikan Sistem Pilihanraya yang mengemukakan laporan awalnya kepada Dewan Rakyat awam bulan ini.

No comments:

Post a Comment