Wednesday 28 December 2011

Manifesto PRU12 Tidak Dikota, PR Tampil Menifesto Baru


KUALA LUMPUR, 27 DIS : Pakatan Rakyat masih belum mengotakan janji menifestonya yang terdahulu namun gagasan itu riuh sekampung mencanang manifesto kedua yang akan diumumkan pada Januari depan, kata Mantan Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo.

Beliau berkata keghairahan pemimpin Pakatan Rakyat cuba menjadi jaguh rakyat menyebabkan mereka alpa dan lupa pada janji- janji yang ditabur sebelum ini.
"Sebenarnya manifesto Pakatan Rakyat pada 2008 adalah satu manifesto untuk menggula-gulakan rakyat jadi rakyat pada ketika itu terasa bahawa manifesto itu mampu dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang baru.
"Atas dasar itulah rakyat negeri Selangor memilih kerajaan yang baru ketika itu. Hakikatnya pada hari ini manifesto ini gagal dilaksanakan secara menyeluruh, memanglah kerajaan hari ini di Selangor (Pakatan Rakyat) mengatakan mereka rasa boleh buat tetapi untuk 10 hingga 15 peratus sahaja, tetapi bagi saya yang mereka cuba untuk mengaburi rakyat Malaysia dengan manifesto yang baru melaksanakan dasar yang baru pada 14 Januari ini," katanya.

Khir berkata pembentangan manifesto di Kedah bulan hadapan itu akan terus memberi harapan palsu kepada ratusan ribu penyokong gagasan itu.

"Ini yang kita lihat bahawa mereka ini bercakap hanya untuk menyedapkan hati rakyat dan mereka percaya bahawa rakyat boleh dibohongi, rakyat boleh dimanipulasikan dan sebagainya. Mereka cuba menafikan suara rakyat dengan menafikan perkara-perkara yang baru," katanya.

Beliau berkata kegagalan Pakatan Rakyat dalam manifestonya itu boleh dilihat melalui perincian yang dilihat hanya menggula-gulakan rakyat dengan janji manis Pakatan selama ini.

"Kita ambil contohnya terutama tentang bantuan kepada anak-anak di pusat asuhan, umpamanya RM75 sebulan masih belum dilaksanakan dan bantuan anak tadika RM50 sebulan tiada dilaksanakan, bantuan khairat kematian yang dulu BN buat secara menyeluruh itu pun tidak dilaksanakan secara menyeluruh hari ini.

"Rawatan percuma untuk warga emas tidak dilakasanakan, bantuan pendidikan hanya meliputi 10 peratus mahasiswa universiti dan banyak lagi yang mereka gagal untuk laksanakan.
"Dan saya lihat dengan pelaksanaan dan pelancaran manifesto kedua adalah perkara amat menyedihkan kerana PKR, DAP dan PAS cuba memenuhi manifesto mereka yang dahulu sehinggalah berjaya, barulah melancarkan manifesto yang baru," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata Pakatan Rakyat tidak lagi boleh menunding jari kepada pentadbiran kerajaan terdahulu iaitu Umno BN sebagai penyebab kepada segala permasalahan yang timbul. Hakikatnya, gagasan itu telah memerintah hampir empat tahun.

Dalam tempoh itu, Pakatan Rakyat seharusnya berupaya melaksanakan tugasnya sebagai kerajaan negeri tanpa perlu menyalahkan sesiapa.

Sambil memberi contoh, Khir berkata kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Khalid Ibrahim dilihat hanya berpeluk tubuh terhadap percambahan pusat hiburan dan urutan yang akhirnya menjadi antara sumber pendapatan negeri itu. 

Natijahnya, kerajaan negeri mendabik dada mengumumkan unjuran pendapatan yang tinggi berbanding negeri lain hingga mencecah RM30 juta.

"Mereka bercakap tetapi mereka lakukan, mereka katakan mereka ingin membanteras pusat-pusat hiburan, rumat-rumah urut dan sebagainya tetapi dalam masa yang sama mereka meningkatkan pendapatan daripada kerajaan BN dahulu RM7 juta tetapi hari ini mereka tingkatkan kepada RM30 juta setahun" katanya.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZJg

No comments:

Post a Comment