Friday 30 December 2011

Saifuddin: Anwar "Tak Usik" AUKU Semasa Dalam Kerajaan


BANGI, 30 DIS : Datuk Seri Anwar Ibrahim harus memeriksa rekodnya sendiri sebagai Menteri Pelajaran sebelum menuduh kerajaan menghalang kebangkitan mahasiswa bersabit pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
 
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata teguran Anwar kononnya pindaan yang diumumkan oleh kerajaan adalah omong kosong,  tidak adil sama sekali.
 
"Ya lah dia (Anwar Ibrahim) pernah menjadi Menteri Pelajaran, kalau dia boleh tunjukkan apa pindaan yang dia buat kepada AUKU semasa dia menjadi Menteri Pelajaran, saya fikir kita semua boleh debatlah," katanya.
 
AUKU diperkenalkan pada tahun 1971 dan melalui pindaan pertamanya pada tahun 2009 untuk membuka ruang kepada mahasiswa berkecimpung dalam politik secara beransur-ansur tanpa menjejaskan pengajian mereka.  
 
"Pada saya pinda AUKU ini adalah perkembangan yang semulajadi. Kita sudah pinda AUKU pada Februari 2009. Contohnya kalau 2009, mahasiswa langsung tidak dibenarkan berbincang hal politik, dengan pindaan 2009, sekurang-kurangnya dibenarkan berbincang soal politik," kata beliau.
 
"Sebelum pindaan 2009, mahasiswa tidak dibenarkan menjadi ahli Persatuan Belia di luar kampus, selepas pindaan daripada 2009, mahasiswa dibenarkan menjadi ahli dan yang tidak boleh cuma menjadi ahli politik sahaja," tambah Saifuddin.
 
Beliau menegaskan  AUKU adalah  perundangan yang harus dipinda secara teliti dan kerajaan tidak tersasar daripada komitmen untuk membuat pindaan seterusnya kepada Seksyen 15 akta itu.
 
Ini  bagi membenarkan mahasiswa dan pensyarah menyertai parti politik.
 
Anwar semalam  mempertikaikan komitmen Perdana Menteri meminda Seksyen 15 AUKU.
 
Beliau mendakwa langkah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil tindakan tata tertib terhadap mahasiswa Adam Adli didalangi oleh kerajaan untuk menakut-nakutkan gerakan mahasiswa.
 
UPSI mengarahkan Adam memberi penjelasan pada 19 Januari bersabit tindakannya menurunkan bendera Datuk Seri Najib Razak di Ibu pejabat Umno ketika menyertai tunjuk perasaan membantah AUKU awal bulan ini.
 
Adam menghadapi dua tuduhan iaitu  merosakkan nama universiti dan memberi ancaman kepada ketenteraman awam dengan perlakuannya itu.  


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZhf

No comments:

Post a Comment