Thursday 22 December 2011

Perbezaan Pendapat Suburkan Demokrasi Tulen PAS




SHAH ALAM, 22 DIS : Pertikaian dikalangan beberapa pemimpin PAS bersabit dasar dan hala tuju parti akan menyuburkan proses demokrasi tulen dalam parti itu, kata Pensyarah Sains Politik UKM, Prof. Madya Mohammad Agus Yussoff.

Beliau berkata perbezaan pendapat antara pemimpin parti itu tidak akan menjejaskan  hubungan dalaman PAS selagi mereka tidak menyerang peribadi masing- masing.

"Selagi mereka berbahas, berdebat, berbeza pendapat, itu dari segi dasar perjuangan tidak melibatkan tuduh menuduh, tidak selak kain telanjangkan peribadi, itu adalah proses demokrasi yang sihat," katanya.

Persada politik negara hari ini dihidangkan dengan perselisihan pendapat antara Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Isu yang tercetus daripada pengumuman Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib bahawa Hasan tidak mendapat pencalonan yang cukup untuk membolehkannya menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 itu turut mengheret bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat ISa.

Hasan pada mulanya hanya membidas Saari yang bertindak membelakangkan parti kemudiannya mengkritik PAS kononnya parti Islam terbesar itu tersasar dari landasan asal perjuangan mereka.

Kritikan itu membawa kepada kenyataan balas oleh Mahfuz dan Mutafa yang menyifatkan Hasan dan Nasharuddin sebagai kecewa kerana tidak lagi mendapat pencalonan untuk mewakili parti pada PRU akan datang.

Nasharuddin yang secara tiba- tiba diheret masuk dalam kancah pertelingkahan ini memberi amaran agar tidak memberikan kesimpulan mudah terhadap pegangannya kepada parti.

Agus ketika ditanya perkembangan ini berkata, sejauh mana perbezaan pendapat tokoh- tokoh politik ini dipertontonkan kepada umum melalui media, ia tidak akan menjejaskan PAS sama sekali.

"Menjejaskan parti itu tidak sekali. Cuma satu kehebatan PAS bila berkelahi, biarpun mereka guna media, bagi saya bagus untuk luah pandangan tapi yang pasti mereka tidak kutuk peribadi. Mereka kutuk parti, cabut sana, lari sini, itu biasa. sebahagian daripada proses politik yang semua orang politik bila ambil tindakan yang berbeza dengan parti akan menerima respon sebegini," katanya.

Agus menambah, apa sahaja keputusan yang diambil oleh Hasan dan Nasharuddin samaada setia bersama parti ataupun keluar daripada parti, ia tidak akan memberi kesan kepada PAS.

"Dalam Umno Mahathir pernah keluar Umno, Hussien Onn pernah keluar, Onn Jaafar keluar, Tunku Abdul Rahman keluar. Dalam PAS pun Asri pernah keluar. Kalau setakat Hasan Ali dan Nasharuddin, isu kecil sahaja tu," katanya ketika dihubungi AntaraPos.com.

Analisis Agus itu dilihat senada dengan pemerhatian Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.

Atory turut berpandangan faktor Hasan tidak akan memberi kesan kepada PAS dalam menghadapi PRU ke-13 akan datang.

"Macam sebuah kapal yang besar, satu dua tembakan tidak jejaskan apa pun. Cuma ia (PAS) hanya berdepan dengan Umno sahaja," katanya.

"PAS kental. Dapat sokongan dari orang Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang Tengku Razaliegh, orang Umno yang lari sebab tidak suka Dr Mahathir, golongan profesional, orang Kelantan yang bekerja diluar banyak sokong PAS," katanya.

Atory berkata, daripada kaca matanya sebagai seorang ahli akademik, PAS adalah sebuah parti yang kuat dan jauh lebih mantap daripada rakan sekompenannya dalam Pakatan Rakyat, Parti Kedilan Rakyat (PKR).

"PAS kuat sebab PAS tidak ada yang ramai- ramai keluar. Ahli Parlimen dia tetap. Sedangan PKR sudah enam orang Ahli Parlimen dan ADUN dia dah keluar.

"Saya yakin PKR kelam kabut. Banyak sangat yang keluar daripada PKR,"

Sejak Pilihan Raya Umum 2008, parti PKR menerima tamparan hebat apabila tujuh orang wakil rakyatnya berpaling tadah dan melompat parti.

Mereka adalah ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrisnan, Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri.

Namun fenomena sedemikian hampir tidak wujud dalam parti PAS dan DAP. Ini menjadikan kedua- dua parti itu unggul mendominasi gagasan Pakatan Rakyat kini.

http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJJh

No comments:

Post a Comment