Sunday 25 December 2011

Perpaduan Melayu : UMNO-Pas Ada Ego Masing-Masing, Kata Teras


KUALA LUMPUR, 25 DIS : Perpaduan kaum  Melayu tidak boleh  bergantung kepada  kerjasama di antara UMNO dan Pas semata-mata tanpa pembabitan golongan ulama dan aktivis masyarakat, kata seorang aktivis Islam yang dihormati.
 
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) , Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dua parti politik itu mempunyai ego masing-masing, justeru kerjasama atau penyatuan di antara mereka tidak boleh dijadikan kunci utama untuk mencapai perpaduan yang dihajatkan.
 
"Jangan lihat perpaduan itu daripada organisasi parti kerana organisasi parti  ini sangat ada keegoannya,” kata beliau kepada AntaraPos.com.
 
“Kita mesti melihat perpaduan orang Melayu itu di luar kerangka parti (dan akur)  bahawa kita punya banyak medan. Kita punya medan sosial, ekonomi, budaya. Saya kira medan ini lebih sejuk berbanding kalau hanya cakap perpaduan antara Pas dan UMNO sahaja, kerana  mereka ada sejarah masing-masing dan mereka akan sering
mengungkit," tambah beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi.
 
"Saya tidak percaya perpaduan orang Melayu hanya kepada dimensi parti dengan parti, ia mesti (juga)  bukan parti. Ini wujudnya masyarakat madani, NGO-NGO, ahli agama, ulama-ulama yang lebih jernih memikirkan (nasib) orang Islam ini, bukan hanya berbahagi kerusi," kata aktivis itu yang dihormati oleh kedua-dua pimpinan Pas dan UMNO. 
 
Cadangan penyatuan atau kerjasama  UMNO dan Pas  mencetuskan kemelut dalaman Pas walaupun pucuk pimpinan parti pembangkang itu tegas menolak kerjasama sedemikian.
 
Ibu pejabat Pas  berulang kali menzahirkan komitmen parti itu untuk terus bersama Pakatan Rakyat.    
 
Bagaimanapun segelintir  pemimpin termasuk bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berkata perpaduan umat Islam harus dijadikan agenda parti dan tidak boleh dipinggirkan daripada perjuangan politiknya.     
 
Mohd Azmi berkata perpaduan yang sejati dalam masyarakat Melayu akan berhasil apabila pihak berkenaan mempamerkan keikhlasan tulen dan mengenepikan agenda peribadi.      
 
“Orang kata perpaduan ini bukan hanya berpegang tangan tapi perpaduan ini menyatu hati.  Rasa cinta sesama kita ini bukan (dicapai dengan) hanya mengatakan Pas UMNO sudah bersatu,  sedangkan hati kita masih ada merasa tidak berpuas hati,” kata beliau.
 
“ Namun jika ada pernyataan-pernyataan yang lahir dari hati umpamanya mengaku kesilapan yang dibuat selama ini, maka orang Melayu akan berasa lapang," katanya.
 
Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa faktor keikhlasan dalam medan politik amat terbatas dan menghalang  usaha mencapai  permuafakatan antara parti yang mewakili masyarakat Melayu.
 
"Apa yang diucapkan, tindakan-tindakan, arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kepimpinan untuk jenteranya mesti menunjukkan tanda-tanda (penyatuan) tetapi ia tidak berlaku lagi,” kata Mohd Azmi.
 
“Yang di atas itu hanya memberikan kenyataan menyedapkan pengikut-pengikutnya atau melepaskan rasa geram.  Ini sikap pimpinan parti politik. Mungkin ada pandangan dia betul tapi haruskah dinyatakan dalam bentuk begitu dan dengan saluran begitu? Yang itu dia tak fikir implikasinya macam mana,” kata beliau.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJdo

No comments:

Post a Comment