Sunday 25 December 2011

Banjir Kilat : Penduduk Tagih Janji ADUN Sri Muda Dan Ahli Parlimen Kota Raja


SHAH ALAM, 24 DIS : Kira-kira 30 penduduk Kampung Batu 5, Jalan Bukit Kemuning di sini hari ini meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen kawasan mereka yang tidak pernah turun padang mendengar masalah rakyat. 

Mereka mengadakan demonstrasi hari ini bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk dari Alternative Action Team.

Menurut seorang penduduk, Mohd Siva Abdullah, pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, ADUN kawasan berkenaan Shuhaimi Shafie dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariam Mahmud berjanji akan menyelesaikan masalah penduduk terutama sekali masalah banjir kilat yang dihadapi sejak 20 tahun lalu. 

Namun malangnya, setelah kedua-dua wakil rakyat itu diberikan mandat oleh rakyat, mereka langsung tidak turun ke kawasan tersebut untuk melunaskan janji yang ditabur.   

" Siapa pun tidak ambil tahu kampung ini. Kita mengundi buat apa? Kita pun nak selamat, kita rakyat Malaysia, bukan pendatang asing.   

" Kawasan ini memang banjir tiap-tiap minggu. Hujan lebat... tetapi tidak ambil tindakan. Kampung kita ini memang banyak masalah. Masalah jalan, longkang tidak terjaya, kalau hujan sikit, minyak naik. Kalau banjir, rumah semua dinaiki lintah, pacat. Budak pun takut-takut. Minggu lepas pun banjir,"katanya kepada pemberita.     

Kampung Batu 5 didiami kira-kira 60 buah keluarga.

Malah menurut Mohd Siva yang menetap di situ sejak 1989, masalah banjir kilat yang melanda kampung itu sejak sekian lama berpunca daripada masalah perparitan dan longkang yang tidak disalurkan dengan baik. 

Difahamkan juga penduduk setempat telah membuat beberapa laporan polis ke atas Shuhaimi dan Dr Siti Mariam kerana gagal menjalankan tugas yang diberi. 

Menurut wakil NGO Alternative Action Team, Kalai Vannar, laporan itu dibuat setelah penduduk tidak tahan lagi dengan sikap tidak ambil peduli wakil rakyat terhadap masalah yang dihadapi mereka. 

" Beberapa kali rungutan ini telah dihantar kepada ADUN Shuhaimi Shafie dan Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariam mengenai masalah di kampung ini tetapi sampai hari ini pun, perkara ini masih belum diselesai.    

" Tetapi daripada hari itu sampailah ke hari ini, 24 Disember 2011, tak nampak batang hidung mereka pun. Bahkan aduan yang dilanjutkan kepada kedua-dua wakil rakyat ini tidak langsung dipedulikan oleh mereka,"katanya.     

" Mereka semua telah membuat laporan polis ke atas ADUN dan Ahli Parlimen yang telah melakukan penyelewengan tugas. Di bawah Sekysen 166, ini adalah satu kesalahan yang boleh disabitkan,"tambahnya lagi.  


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJdh

No comments:

Post a Comment