Thursday 29 December 2011

Jingga 13 Dedah Video Kondo Mewah Keluarga Menteri


PETALING JAYA, 29 DIS : Jingga 13 hari ini mendedahkan pihaknya telah mengadakan lawatan ke Singapura minggu lalu selama dua hari bagi mengenalpasti secara jelas  aset dan perniagaan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. 

Pembangkang sebelum ini mendakwa keluarga Shahrizat terbabit dalam penyalahgunaan dana awam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) berjumlah RM250 juta.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa dalam satu sidang media hari ini mendedahkan video pencarian mereka ke Singapura di mana didakwa keluarga Shahrizat memiliki aset di sana hasil daripada penyelewengan projek NFC.  

Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini mendakwa, keluarga Shahrizat membeli sebuah kondominium mewah di tengah-tengah Kota Singapura yang nilainya dianggarkan bernilai RM9.9 juta pada kadar tukaran wang asing ketika urusniaga berlangsung.

Pembelian harta mewah itu didakwa didaftarkan secara bersama di atas nama Mohamad Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh.

"Kita nak nyatakan bahawa ia terbukti kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh YB Saifuddin Nasution, YB Zuraida Kamaruddin dan Rafizi Ramli adalah merupakan satu kenyataan yang betul yang sah bahawa wujudnya kondominium di Orchard Scoots, di Anthony Road Singapura,"katanya. 

Sidang media yang dibuat di Ibu Pejabat PKR itu juga ada menyiarkan dua klip video dan gambar kondominium mewah Orchard Scoots di Anthony Road yang berharga RM 9.9 juta. 

Bagaimanapun Jingga 13 gagal untuk mengesan syarikat Global Bio Future. Pte Ltd yang juga didakwa dimiliki oleh keluarga Shahrizat. 

Menurut Fariz, video yang diambil ini akan di muat naik ke laman sosial 'Facebook' dan 'Youtube' dengan tujuan memberi maklumat kepada rakyat mengenai penyelewengan yang menggunakan dana rakyat.

Jingga 13 juga turut mendesak agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk segera mengambil tindakan untuk mendakwa Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail serta ahli keluarga Shahrizat.
 
"Sebab itu kita minta pihak SPRM yang telah membuka siasatan termasuk juga mengadakan pasukan dan pihak polis untuk mengambil tindakan secara tegas dan drastik. Bukti sudah cukup nyata, pendakwaan harus dibuat dengan segera,"katanya.    

Sementara itu polis hari ini melanjutkan tahanan reman ke atas seorang ahli perniagaan yang sebelum ini dikaitkan dengan kes dana Pusat Fidlot Nasional (NFC), sehingga esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Izany Abdul Ghany berkata lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung satu kes penipuan.

Laporan akhbar menyebut suspek lelaki itu, yang direman lima hari bermula 22 Dis bagi membantu siasatan kes NFC oleh SPRM, telah dibebaskan namun ditahan semula oleh polis bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan projek stesen minyak.
Isu NFC berbangkit berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 Oktober lepas yang menyatakan ia gagal memenuhi matlamat penubuhannya, manakala pembangkang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana terutama berkaitan pembelian kondominium mewah di Lembah Klang.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZZm

No comments:

Post a Comment