Thursday 22 December 2011

Pro- Aspirasi Tolak Jemputan Tim. Menteri Pendidikan


SHAH ALAM, 22 DIS : Mahasiswa Pro- Aspirasi yang mengadakan demonstrasi aman semalam, bagi mendesak Timbalan Menteri Pendidikan agar meletak jawatan, hari ini menolak jemputan dari Datuk Saifuddin Abdullah bagi mengadakan pertemuan dengannya.

Saifuddin berkata, jemputannya itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit Kanannya, Mohd Nazri Noh ketika menerima memorandum daripada mahasiswa tersebut.

"Beliau juga memaklumkan kepada mereka bahawa saya menjemput mereka mengadakan pertemuan di Parlimen pada jam 12.15 tengahari ini, tetapi ditolak," katanya lagi.

Saifuddin dalam satu kenyataan medianya berkata, biarpun mahasiswa Pro- Aspirasi itu pernah mendesak beliau agar melepaskan jawatan tersebut, beliau tetap menyayangi dan langsung tidak menyimpan dendam terhadap mereka.

Beliau menambah, mahasiswa tersebut mempunyai hak untuk menyatakan pandangan mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

"Saya juga dimaklumkan bahawa sebahagian daripada yang hadir itu ialah mahasiswa. Kepada mereka, saya ingin nyatakan bahawa kasih saya pada mereka tidak berubah," ujarnya.

Semalam, mahasiswa Pro- Aspirasi menyertai beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berdemonstrasi dihadapan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Putrajaya, bagi mendesak Saifuddin agar bertanggungjawab ke atas tindakan sekumpulan Pro- Mahasiswa menurunkan bendera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dihadapan Ibu Pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bendera gambar Najib yang sebaris dengan lima Presiden Umno sebelum ini diturunkan selama lima minit dan diganti dengan bendera Pro- Mahasiswa oleh seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli.   

Kehadiran Saifuddin untuk menerima memorandum dari Pro- Mahasiswa itu mengundang rasa tidak puas hati dikalangan pelajar Pro- Aspirasi dan menyifatkan beliau 'terlalu mesra' dengan Pro- M.

Saifuddin memberitahu, sebaik sahaja menerima memorandum dari Pro- Aspirasi dihadapan KPT semalam, beliau sekali lagi menerima memorandum dari kumpulan berkenaan ketika pertemuan dalam satu program debat di Universiti Putra Malaysia yang dianjurkan malam tadi.

"Pertemuan itu berlangsung dalam tempoh yang singkat sahaja dalam suasana mesra di mana kami bersalaman sambil tersenyum," katanya.



http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJJm

No comments:

Post a Comment