Sunday 25 December 2011

Penyatuan Pas-UMNO Dihalang Agenda Politik Pas - Kata Pensyarah


KUALA LUMPUR, 24 DIS : Agenda politik sempit Pas yang mengatasi kepentingan ummah menyukarkan usaha memupuk kerjasama dan penggabungan antara parti itu dan UMNO, kata seorang penganalisis politik.
 
Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata kebimbangan Pas terhadap kerjasama sedemikian berpaksi kepada kemungkinan pemimpinnya terpaksa berkongsi tiket untuk bertanding pada pilihan raya umum.
 
"Jadi  (ini) soal kepentingan sendiri hendak menjadi calon mengatasi kepentingan dan ummah secara umumnya," katanya dalam satu wawancara khas bersama AntaraPos.com.
 
Isu penyatuan atau kerjasama UMNO-Pas sekali lagi menjadi fokus susulan pengisytiharan Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali bahawa Pas tidak patut menolak cadangan itu demi perpaduan Islam.    
 
Malah, Hasan menyarankan sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi ditubuhkan demi menjadikan kerjasama itu satu kenyataan.
 
Pendirian Hasan itu dibidas oleh beberapa pemimpin Pas termasuk Naib Presiden Mahfuz Omar dan Setiausaha Agong parti Datuk Mustafa Ali yang menuduh beliau (Hasan) melaksanakan agenda UMNO.
 
Ditanya kenapa Pas begitu keras menolak kerjasama dengan UMNO, Atory berkata soal pengagihan kerusi pada pilihan raya dan jawatan dalam kerajaan menjadi pertimbangan utama  bantahan itu.   
 
"Yang tidak suka penggabungan ini adalah daripada parti pembangkang. (Ini kerana mereka bimbang) kalau berlaku penggabungan, tentulah kerusi-kerusi yang popular akan diberikan kepada UMNO,” kata beliau.
 
Beliau juga berkata wujud kebimbangan parti itu tidak akan diberi jawatan-jawatan dalam kabinet dan kerajaan sebagaimana yang dituntutnya jika penyatuan UMNO-Pas menjadi realiti.
 
Atory mengimbau sejarah Pas yang menyertai Barisan Nasional pada  tahun 1971 tetapi kemudian meninggalkan gagasan itu pada tahun 1978, krisis darurat di Kelantan.
 
Atory berkata bekas pemimpin Pas Allahyarham Tan Sri Mohd Asri Muda sendiri ditempelak oleh parti pimpinannya kerana mahukan kerjasama di antara Pas dan UMNO.

"Asri ditendang keluar sebagai presiden Pas pada tahun 1983, apabila beliau  mengatakan orang Melayu  perlu menyokong dasar-dasar Dr. Mahathir seperti dasar pandang ke timur, dasar pejuangan Islam kerana itu sama dengan dasar perjuangan Islam.
 
"Datuk Asri kata Pas juga memperjuangkan Islam, hendak memartabatkan orang Melayu dan Islam tetapi orang PAS kata apa? Kalau begitu habislah kita Datuk, habislah peluang kita untuk menjadi wakil rakyat,” kata Atory.
 
Atory yakin isu pengagihan kerusi dan jawatan dalam kerajaan mampu di tangani secara bijak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan Pas sekiranya wujud kerjasama antara dua parti itu.
 
Beliau berkata Najib tentunya “tidak akan kedekut” dalam isu berkenaan dan akan merujuk kepada pengalaman ayahnya, Allahyarham Tun Razak yang bekerjasama dengan Allahyarham Tan Sri Asri.   
 
" Tun Razak dan Datuk Asri telah membahagi-bahagikan perkongsian kuasa jawatan Menteri diberikan kepada PAS, terutamanya ketika itu Menteri yang melibatkan Felda, duta-duta luar negeri terutamanya negara Islam diberikan kepada Pas, duta IRAN diberikan kepada Pas,” kata beliau.
 
Beliau berkata pemimpin kedua-dua parti juga di lantik menjadi exco di peringkat negeri contohnya di Kelantan Perak.
 
Atory menegaskan usaha penggabungan Pas-UMNO ketika ini masih samar kerana PAS berkeyakinan ia mampu mentadbir kerajaan pada masa akan datang.

Beliau menyifatkan pemimpin Pas sebagi “petaruh politik kerana mereka menjangka dengan yakin akan dapat mengalahkan Barisan Nasional," katanya.
 
Atory berkata perbedaan pendapat dalam pucuk pimpinan Pas turut menjadi penghalang kepada kerjasama itu,
 
Beliau berkata walaupun Presiden parti Abdul Hadi Awang bersikap terbuka kepada penyatuan itu namun Murshidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat menentang usaha itu.
 
“Nik Aziz tidak bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO. Jadi dalam Pas ini saya melihat walaupun Hadi Awang Presiden, tetapi hirarki dalam pimpinan Pas ini juga berbeza," katanya.

"Jadi pada hari ini apa juga yang saya nampak kesan besar sama ada Pas dan UMNO hendak bergabung atau tidak, di pihak UMNO tiada masalah, sebab UMNO jelas dasar perjuangannya di atas dasar-dasar untuk bangsa, agama dan negara, itu tiada masalah,” ujar Atory.
 
"Jadi sekarang ini pada PAS, jika Datuk Nik Aziz memberi lampu hijau, saya rasa tiada masalah, hari ini juga boleh mengadakan penggabungan Pas dan UMNO," katanya.

No comments:

Post a Comment