Wednesday, 21 December 2011

Aziz Bari Tinggalkan UIA 31 Disember Ini




KUALA LUMPUR, 21 DIS : Pensyarah Undang- undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Abdul Aziz Bari akan menamatkan perkhidmatannya sebagai tenaga pengajar di institut itu, 31 Disember ini.

Aziz menegaskan beliau bukan dipecat malah percaya bahawa UIA tiada alasan kukuh untuk berbuat demikian. 

Aziz sebelum ini menjadi sasaran siasatan UIA, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ekoran ulasannya terhadap titah Sultan Selangor bersabit pemeriksaan Jabatan Agama Islam (JAIS) ke atas sebuah gereja Ogos lalu.

Pakar Perlembagaan itu berkata, keputusannya untuk meninggalkan UIA adalah berpaksi kepada kekangan demi kekangan yang dikenakan bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga terhadap semua cendekiawan- cendekiawan negara.

“Apa pun senario yang ada tidak mengizinkan saya berfungsi sebagai ahli akademik yang komited kepada ideal kebebasan akademik.

“Kemungkinan, saya merupakan tenaga akademik pertama menjadi mangsa disebabkan persekitaran seperti ini, berhadapan dengan tekanan kerana memberi komen hanya berdasarkan kepakaran saya.

"Saya memberi pandangan mengenai isu-isu semasa menggunakan kepakaran saya,” kata beliau lagi.

Aziz berkata, walaupun ada beberapa pilihan tetapi jika boleh mahu terus kekal berkhidmat dalam bidang akademik.

“Politik bukan bidang yang akan jadi profesyen saya sebagaimana akademik. Saya tetap akan berfungsi sebagaimana sebelumnya, khususnya memberi pandangan, menulis dan seumpamanya. 

"Saya harap saya akan kembali ke dunia akademik meskipun tidak semestinya di UIA,” katanya lagi.

Aziz, 52, telah berkhidmat lebih dua dekad di Kuliyyah Undang-undang UIA dan sering dilantik sebagai pemeriksa luar bagi ijazah lanjutan baik di dalam maupun di luar negara.

Beliau juga telah disenaraikan untuk kenaikan pangkat sebagai profesor gred ‘A’.

Difahamkan Aziz sedang menyiapkan buku ke-10 beliau, yang menyentuh mengenai kedudukan dan peranan raja berperlembagaan di Malaysia.

http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkb5pj

No comments:

Post a Comment