Friday 23 December 2011

Ahli Pas Cuba Berlagak Pandai Tanpa Ilmu Sebenar Pasti Tersungkur, Kata Hadi


KUALA LUMPUR, 22 Dis: Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang mengingatkan ahli parti bahawa setiap dari mereka "wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah menggugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam Pas".

Oleh itu, kepada sesiapa yang menyertai Pas katanya wajib mengikut haluan dan hala tuju serta cara perjalanannya yang tersendiri berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan kefahaman. 

" Pas terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa.

" Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam Pas secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W,"kata Hadi menerusi satu kenyataan. 

Ujarnya lagi, seluruh ahli Pas wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera Pas dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil kerana itulah sifatnya perjuangan Islam.

Jelasnya, Pas tetap selamat dan menjadi parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

Beliau menyatakan demikian di dalam satu kenyataan yang ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli Pas, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.


http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJRg

No comments:

Post a Comment