Wednesday, 21 December 2011

Jangan Mudah Buat Andaian Mengenai Saya, Amaran Nash Kepada Mustafa Ali


KUALA LUMPUR, 21 DIS : Bekas timbalan presiden Pas, Nasharudin Mat Isa menegaskan  beliau "tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai UMNO" dan menyifatkan mereka yang mencadangkan demikian sebagai cenderung membuat kesimpulan mudah. 

Dalam mesej yang ditujukan kepada Setiausaha Agong Pas Mustafa Ali, Nasharudin menegaskan  dakwaan bahawa beliau terperangkap dalam agenda UMNO, "terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas."

"Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah ahli PAS dan perjuangan saya kekal bersama PAS untuk menjunjung risalah Islam, menyumbang kepada ummah dalam apa juga keadaan," katanya.

Dalam  satu kenyataan, Nasharudin juga berkata beliau belum pernah mengungkapkan untuk menyertai UMNO sepanjang pembabitan beliau dalam Pas.

"Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar," katanya lagi.
 
Beliau yang popular dengan nama jolokan Nasha di kalangan peminatnya, juga tampil membuat penjelasan ringkas hari ini untuk menjawab "tohmahan" di media dan laman sosial.

Dakwaan bahawa beliau terperangkap dalam agenda UMNO disuarakan Mustafa yang turut menyelar bekas pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Mustafa juga menganggap Nasharudin dan Hasan kecewa kerana tidak dapat mempertahankan kedudukan masing-masing sebagai timbalan presiden dan pesuruhjaya Selangor.
 
Semalam Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Abdul Rani Osman mendakwa Hasan dan Nasarudin memulau usaha pucuk pimpinan parti bagi menghubungi mereka untuk meleraikan kemelut dalaman parti itu.
 
Bagaimanapun Hasan berkata beliau telah menerima baik mesej yang dibawa oleh pucuk pimpinan parti kira-kira enam hari lalu dan nada mereka akan berbeza dengan apa yang ditampilkan oleh Mustafa.

No comments:

Post a Comment