Tuesday 27 December 2011

PR Lancar Manifesto PRU 13 Januari Depan


ALOR SETAR, 27 DIS : Pakatan Rakyat akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) pada 14 Januari depan sempena Konvensyen PR peringkat kebangsaan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata manifesto yang disebut sebagai Deklarasi Alor Setar itu akan merumuskan ketiga-tiga manifesto parti sekutu iaitu PKR, DAP dan PAS selain penambahbaikan Buku Jingga.

"Selesai sahaja sesi perbentangan dan perbahasan, kita akan adakan deklarasi Alor Setar untuk semua manifesto dan perbahasan yang dibuat," katanya kepada pemberita, di Alor Setar.

Katanya konvenysen sehari itu dijangka disertai 1,800 perwakilan serta 2,000 pemerhati dan jemputan khas, dan akan dirasmikan secara bersama oleh pemimpin kanan ketiga-tiga parti.

"Pada sebelah malamnya, kita akan adakan ceramah oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak," kata Wan Salleh.

Beliau juga meminta orang ramai terutamanya usahawan tempatan yang mahu berniaga sepanjang konvensyen itu agar menghubungi Md Zahir Ahmad di talian 012-4080963 atau 04-7316284 bagi mengisi lebih 100 lot niaga yang disediakan.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJpf

No comments:

Post a Comment