Wednesday, 21 December 2011

Pinjaman Bank Dunia : Anwar, PKR Bohong, Kata Mahathir


KUALA LUMPUR, 21 DIS : Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah menulis surat memohon bantuan kewangan daripada Bank Dunia sebagaimana yang didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Mahathir mengaku bahawa Malaysia mengambil beberapa pinjaman daripada Bank Dunia  sejak kemerdekaan, malah semasa pentadbiran beliau sendiri, namun amalan itu dihentikan pada tahun 1998.
 
Walaupun Bank Dunia meluluskan beberapa pinjaman  untuk Malaysia, kerajaan memutuskan untuk tidak menggunakan kemudahan berkenaan walaupun   ketika itu kegawatan ekonomi  mencengkam rantau ini.   
 
“Jika Anwar boleh menunjukkan bukti ( bahawa saya menulis kepada Bank Dunia mohon wang), beliau patut berbuat demikian. Jika gagal, beliau harus bersedia bersumpah laknat di masjid bahawa apa yang didakwanya adalah benar. Saya bersedia bersumpah di  masjid bahawa saya tidak pernah memohon pinjaman daripada Bank Dunia,” kata beliau di dalam blognya.  
 
Awal minggu ini, Anwar mendakwa bahawa Mahathir menulis kepada Bank Dunia memohon pinjaman wang dan kemudian menuduh beliau (Anwar) sebagai agen Barat yang bertindak di bawah telunjuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa(IMF).
 
Dalam mempertahankan dirinya daripada serangan Anwar itu, Mahathir sekali lagi mengimbau rekod Anwar sebagai Menteri Kewangan sebelum beliau dipecat dari Umno dan Kerajaan pada September 1998.
 
Mahathir berkata Anwar menyokong dasar- dasar  menindas IMF yang ditentang oleh Bank Negara sendiri.
 
“Beliau menaikkan kadar faedah, mengurangkan tempoh pengiystiharan pinjaman tidak berbayar daripada enam bulan kepada tiga bukan dan mengurangkan peruntukan untuk kementerian bagi mencapai belanjawan lebihan,” kata beliau.
 
Mahathir berkata walaupun Anwar sendiri tidak membantah kawalan mata wang yang diperkenalkan pada tahun 1998,  untuk memulihkan ekonomi,  gabenor dan timbalan gabenor Bank Negara yang dilantik oleh beliau (Anwar)  enggan melaksanakan dasar itu dan meletak jawatan.
 
Merujuk kepada butir- butir pinjaman Bank Dunia kepada Malaysia yang digunakan oleh Parti Keadilan Rakyat, Mahathir berkata kali terakhir kerajaan berunding dengan badan antarabangsa itu untuk mendapatkan pinjaman adalah pada tahun 1997.
 
“Sudah tentu pinjaman- pinjaman itu tidak diluluskan sehingga 1999 setelah krisis kewangan serantau berakhir. Lazimnya permohonan untuk pinjaman disusuli dengan rundingan (sebelum kelulusan diberi)” kata Mahathir.  

“Malaysia berhenti menggunakan pinjaman yang dirunding dengan Bank Dunia pada tahun 1997 dan 1998. Ini tidak menjejaskan usaha Malaysia untuk pulih daripada kegawatan ekonomi,” kata Mahathir.
 
Beliau berkata pinjaman US$300juta yang diberikan oleh Bank Dunia ditanda tangani pada Jun 1998, ketika Anwar masih Menteri Kewangan. Ia bertujuan membiayai program-program pemakanan, pengajian tinggi dan sebuah skim mikrokredit.
 
Bank Dunia juga meluluskan pinjaman AS$100 juta pada Mac 1999 namun kerajaan hanya menggunakan US$11.94 juta daripada jumlah itu,  manakala hanya AS$60,000 di guna daripada pinjaman AS$60 juta untuk projek-projek sosial.
 
Sebuah lagi pinjaman pendidikan Bank Dunia bernilai AS$244 juta juga tidak digunakan sepenuhnya setelah  diluluskan  pada Mac 1999.
 
Mahathir menegaskan pinjaman-pinjaman itu diluluskan oleh Bank Dunia selepas Anwar dipecat sebagai Menteri Kewangan dan tidak timbul isu beliau menulis surat kepada badan itu untuk memohon pinjaman selepas itu.
 
Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak mahu berhutang kepada Bank Dunia kerana tidak rela negara “diperhambakan.”

No comments:

Post a Comment