Friday 6 January 2012

Azmin : Hasan Ali Celupar Dan Patut DiKenakan Tindakan


PETALING JAYA, 6 JAN : Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali mahu Pas mengambil tindakan terhadap Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali kerana kritikan “celupar” beliau  bersabit perhimpunan pembangkang Isnin ini.
 
"Saya serahkan kepada Pas untuk ambil tindakan yang sewajarnya  terhadap Hasan Ali kerana telah melanggar prinsip dan semangat Pakatan Rakyat dan sebagai anggota Exco kerajaan Negeri beliau tidak sewajarnya membuat kenyataan-kenyataan yang terbuka dan tidak berasas sama sekali," kata Azmin.
 
"Saya menuntut supaya pimpinan tertinggi Pas mengambil tindakan yang serius terhadap Dr Hasan Ali yang bagi saya sudah melampau dan tidak lagi bertanggungjawab terhadap Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri Selangor,” tambah beliau.
 
Azmin berkata Murshidul Am Pas Datuk Nik Aziz sendiri member ketetapan untuk hadir pada tunjuk perasaan itu jika kesihatannya membenarkan, justeru “saya nak tanya siapa Dr Hasan Ali?"
 
"Saya berharap beliau jangan terlalu celupar kerana ada agenda yang tertentu," tambah Azmin mempertingkatkan serangannya terhadap Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu merangkap ADUN Gombak Setia.
 
Hasan semalam berkata beliau menolak perhimpunan itu kerana ia untuk memperjuangkan isu peribadi Anwar yang menurutnya sudah diberi ruang di mahkamah untuk membela diri.
 
PKR dengan sokongan PAS dan DAP menganjurkan perhimpunan itu sempena keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersabit tuduhan liwat Anwar. Ketua Pembangkang itu menghadapi kemungkinan dipenjara 20 tahun jika disabit kesalahan.
 
Azmin menegaskan keputusan mahkamah itu jauh daripada isu peribadi tetapi juga membabitkan isu-isu nasional.
 
"Ini bukan soal peribadi Datuk Anwar, saya dah tegaskan tujuan himpunan ini selain menunjukkan solidariti trehadap kepimpinan Anwar, perhimpunan aman ini juga sebagai tentangan rakyat terhadap kata politik Barisan Nasional,” kata Azmin.
 
“Apakah Hasan Ali menyokong segala kata politik Barisan Nasional selama ini? Apakah beliau benar-benar seorang pemimpin yang bermoral hinggakan orang lain buruk semua?" tambah beliau.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkc5Jh

Demo Anwar : Polis, PKR Setuju Adakan Di Tempat Letak Kereta


KUALA LUMPUR, 6 JAN : Polis dan Parti Keadilan Rakyat mencapai kata sepakat bahawa tunjuk perasaan pembangkang Isnin depan akan diadakan disebuah tempat letak kereta dekat dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
 
Persetujuan itu dicapai selepas perbincangan diantara pimpinan PKR dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh.
 
"Boleh adakan perhimpunan aman di tempat letak kereta selari dengan Akta Perhimpunan Aman 2011," kata Salleh kepada pemberita selepas berjumpa dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali.
 
Ketua Angkatan Muda Keadilan Samsul Iskandar Md Akin mengesahkan pihaknya bersetuju dengan tapak yang dicadangkan polis untuk memastikan demonstrasi anjuran parti itu aman dan tenteram.
 
Azmin menyifatkan pertemuan kedua-dua pihak sebentar tadi sebagai positif. Beliau akan memberi butiran penuh mengenai persetujuan yang dicapai dengan polis pada sidang akhbar petang nanti. 
 
"Keputusan adalah positif dan saya bergembira dengan perbincangan ini....dan berjanji tidak akan menimbulkan sebarang provokasi," kata Azmin.  
 
Pakatan Rakyat bercadang mengumpulkan ribuan penyokong sebagai tanda sokongan terhadap Anwar apabila Mahkahman Tinggi Kuala Lumpur memberi keputusan bersabit kes liwatnya Isnin ini.
 
Pada sidang akhbarnya petang tadi, Azmin berkata pihaknya akan menyediakan kawalan yang cukup untuk mengawal lalu lintas dan memastikan perhimpunan itu berlangsung secara aman.
 
"Saya berbincang dengan Ketua Polis Kuala Lumpur bagi melaporkan bahawa Pakatan Rakyat akan menyusun 100,000 rakyat Malaysia berhimpun untuk menujukkan solidariti kepada kepimpinan Anwar Ibrahim dan penentangan pimpinan kepada UMNO-Barisan Nasional," kata beliau.
 
"Saya menjanjikan bahawa perhimpunan ini akan berlangsung secara aman dan justeru itu, PKR telah membentuk pasukan khas 'Marshall Force' seramai 500 ahli akan bertugas supaya dapat mengawal lalu lintas dan membantu pergerakan khususnya kepada mereka yang menggunakan jalan utama," tambahnya.  
 
"Saya juga yakin bahawa polis tidak akan melakukan sekatan jalan raya seperti yang berlaku dalam perhimpunan yang lalu sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk sebelum ini."
  
Jika disabit kesalahan, Anwar boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan digugur kelayakan bertanding pada pilihanraya umum akan datang.
 
Ketua Pembangkang itu dituduh meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008 di sebuah kondominium di Damansara.
 
Anwar mendakwa pertuduhan itu adalah konspirasi kerajaan untuk menjatuhkan beliau kali kedua setelah beliau disabit atas kesalahan sama pada tahun 1999 dan menghabiskan enam tahun di penjara sebelum Mahkamah Persekutuan mendapati beliau tidak bersalah.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan Anwar dan menegaskan kes liwat itu adalah isu peribadi yang akan diputuskan oleh mahamah mengikut lunas undang-undang.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkc5Jg

Demo UPSI : Mahasiswa Serah "Bukti" Kepada Polis


KUALA LUMPUR, 6 JAN : Solidariti Mahasiswa Malaysia dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik menyerahkan kepada Bukit Aman apa yang mereka sifatkan sebagai bukti bahawa polis menganiayai di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 1 Januari lalu.

Presiden Kumpulan Aktiviti Mahasiswa Malaysia, Haziq Abdul  Aziz berkata bukti itu berupa video dan  keterangan saksi-saksi yang turut berada di UPSI pada malam kejadian itu.

“Saya bersama rakan-rakan telah menyerahkan memorandum bukti keganasan pihak polis terhadap mahasiswa yang berhimpun secara aman di UPSI pada malam 1 Januari kepada Bukit Aman,” beliau memberitahu pemberita. 

“Kita desak supaya pihak polis menyiasat dan ambil tindakan sewajarnya terhadap anggota polis yang terlibat pada malam itu,” tambahnya

Beliau berkata laporan bukti tersebut adalah berbentuk gambar di tempat kejadian yang sempat dirakamkan oleh pihak media dan saksi di tempat kejadian.

Antara video yang diberi kepada polis ialah visual Safwan Anang selepas beliau mengalami kecederaan yang dirakam oleh portal berita ini. Safwan mendakwa beliau  ditumbuk oleh polis sehingga bibirnya berdarah. 

17 pelajar di tahan polis manakala dua yang lain termasuk Safwan dilaporkan cedera apabila lebih 100 mahasiswa yang mengadakan tunjuk perasan di UPSI engkar arahan polis untuk bersurai.  

Kumpulan pelajar berkenaan menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti. 

Mereka  juga menyatakan sokongan terhadap Adam Adli yang dikenakan tindakan displin oleh UPSI setelah beliau menurunkan bendera Perdana Menteri di ibu pejabat Umno bulan lalu.

Dalam pada itu pada jam 11 pagi tadi Adam Adli dipanggil oleh polis ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung protes memansuhkan AUKU 1971 dengan menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 17 Disember lalu.

“Mereka menyiasat saya di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kononnya saya mengaibkan dengan tujuan memecahkan keamanan mengajak jadi kita tunggulah sama ada kes atau tidak,” katanya.

Beliau selain itu berkata akan menghadirkan diri pada 9 Januari ini untuk sesi pendengaran tatatertib  oleh UPSI ekoran tindakannya menurunkan bendera Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri di Putra World Trade Center 17 Disember lalu.

“9 Januari ini saya perbicaraan di UPSI pada pukul 3 petang, perbicaraan ini saya lihat untuk menidakkan suara mahasiswa, saya berserta rakan-rakan yang selama ini komited, menentang penyalahan akta bagi menyekat kebebasan mahasiswa dan kita akan ambil tindakan yang sewajarnya bagi menghentikan AUKU ini dari terus digunapakai,” katanya.

Pada 24 Disember lalu, dua kakitangan UPSI menghantar notis yang mengarahkan Adam diminta hadir ke universiti itu pada 3 petang, 9 Januari ini berhubung tindakannya menurunkan bendera yang memaparkan gambar Datuk Seri Najib Razak di PWTC pada 17 Disember 2011.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkc5Jf

Najib : Kerajaan Selangor Sekat Projek Perumahan Untuk Peneroka Felda


HULU BERNAM, 6 JAN : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan projek perumahan yang dijanjikan kepada penduduk di Hulu Selangor tidak dapat dilaksanakan sehingga ini kerana kerajaan negeri enggan memberikan kelulusan tapak tanah.

Berdialog dengan peneroka Felda Gedangsa di Kuala Kubu Baru, Najib berkata kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat enggan meluluskan projek-projek perumahan yang dirancang oleh kerajaan persekutuan.

"Kita mahu bina rumah-rumah untuk generasi kedua peneroka Felda tetapi ini ditolak oleh kerajaan negeri ... semata-mata atas sebab-sebab politik.

"Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana pembangunan tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri," kata Najib.

Najib hari ini melawat Hulu Selangor hari ini untuk memeriksa kemajuan projek-projek yang diluluskan pada pilihan raya kecil itu selepas calon BN P Kamalanathan mengalahkan calon PKR, Zaid Ibrahim dengan majoriti 1725 undi pada April 2010.

Katanya, beliau kecewa kerana beberapa projek yang dijanjikan tidak dapat ditunaikan kerana pendirian konfrontasi yang diambil oleh kerajaan negeri.

"Jika anda mahukan perubahan, maka lakukannya apabila tiba masanya," katanya sambil mengingatkan rakyat supaya mengundi dengan bijak pada pilihan raya akan datang.

Najib juga menyumbangkan RM200,000 bagi pembinaan taman permainan kanak-kanak di empat penempatan Felda Gedangsa, Sungai Tengi, Suharto dan Sungai Tengi Selatan.

Beliau juga meluluskan RM300,000 lagi untuk menaik taraf kedai-kedai perniagaan di Gedangsa dan Soeharto.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkc5Fn

Raja Petra Dedah Rasuah Dan Kronisme Di Selangor


KUALA LUMPUR, 6 JAN : Pengarang portal Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin hari ini mendedahkan rasuah dan kronisme menular dalam kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dengan memberi bukti-bukti yang membabitkan Timbalan Presiden Parti Azmin Ali, Naib Presiden N.Surendran dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Sivarasa Rasiah dan Lateefah Koya.

Raja Petra berkata beliau membuat pendedahan itu bagi menyahut cabaran kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya memberi  butiran penyelewengan yang dimaksudkan apabila beliau membidas rekod parti itu di Selangor minggu lalu.

Raja Petra menuduh seorang saudara Azmin cuba mendapatkan sogokan daripada seorang pemaju bagi memperolehi kelulusan kerajaan negeri untuk sebuah projek.

Beliau berkata saudara itu memberitahu pemaju berkenaan bahawa Azmin boleh mendapatkan kelulusan itu dengan syarat imbuhan diberikan.

Bagaimanapun Raja Petra berkata pemaju itu akhirnya mengambil keputusan tidak mahu membayar dan bertekad untuk menarik balik sokongan terhadap Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan datang.

Dalam kes Sivarasa dan Surendran, Raja Petra mendakwa firma guaman dua pemimpin PKR diberikan sebilangan besar kontrak-kontrak guaman oleh Majlis BandarayaPetaling Jaya.

Menurut beliau, perkara itu dalam pengetahuan umum  ahi majlis MBPJ lain dari parti komponen Pakatan Rakyat yang bagaimanapun berdiam diri, kerana khuathir sebarang pendedahan akan menjejaskan peluang gagasan itu  pada pilihanraya umum akan datang.

Selain mendapat kontrak lumayan MBPJ, Sivarasa juga ahli lembaga pengarah Kumpulan Perangsang dan meraih puluhan ribu ringgit setiap bulan, tambah beliau.

Raja Petra berkata hasil daripada imbuhan dan kontrak-kontrak lumayan, syarikat guaman Sivarasa kini beroperasi di sebuah kawasan elit di Petaling Jaya manakala Surendran memiliki sebuah kereta mewah dengan pemandu.     

Raja Petra minggu lalu mencetuskan kemarahan penyokong PKR apabila berkata Anwar tidak lalyak menjadi Perdana Menteri.

Beliau juga menyerang rekod parti itu di Selangor d bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkc5Fm