Friday 6 January 2012

Hasan : Hotel Bajet Jadi Sarang Maksiat Paling Popular


SHAH ALAM, 5 JAN : Operasi Khas Anti Zina oleh Jabatan Agama Islam Selangor sempena Sambutan Tahun Baru 2012 mendedahkan hotel bajet yang bercambah di negeri itu semakin digunakan  sebagai sarang maksiat.
 
Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali berkata operasi cegah arak di pusat hiburan dan operasi khalwat dan zina di hotel bajet dilancarkan serentak di kesemua sembilan daerah di Selangor.
 
"Daripada operasi yang dibuat, adalah jelas bahawa hotel-hotel bajet telah dijadikan tempat melakukan maksiat yang paling popular dikalangan mereka yang terlibat," kata beliau.
 
"Untuk semua daerah kerjasama pemilik dan kakitangan hotel yang terlibat bolehlah dikatakan memuaskan walaupun diperingkat awalnya terdapat percubaan untuk melindungi penginap-penginap hotel tersebut." tambah beliau.
 
Seramai 18 orang ditahan termasuk 6 wanita dalam operasi cegah arak  di dua pusat hiburan  di Damansara dan Petaling Jaya akan dihadapkan ke mahkamah. Enam puluh Sembilan yang lain akan diberi kaunselling.
 
Hasan berkata dalam operasi mencegah khalwat dan zina pada tahun baru, pihaknya menahan   127 lelaki dan 107 wanita termasuk remaja berusia 16 tahun.
 
Daerah Gombak mencatatkan jumlah yang ditahan paling tinggi dengan 74 orang (37 pasangan), Klang 28 orang (14 pasangan), Hulu Selangor 27 orang (13 Pasangan) dan Hulu Langat 20 orang (10 pasangan).
 
Mereka yang terlibat akan dipanggil untuk memberikan keterangan pada 12 dan 13 Januari sementara tarikh untuk mereka hadir ke sesi kaunseling akan dimaklumkan kemudian.
 
Kedua-dua operasi itu dilakukan sebagai langkah menguatkuasakan Seksyen 18 (Minuman Yang Memabukkan) dan Seksyen 29 (Khalwat) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkcpln

No comments:

Post a Comment