Wednesday 4 January 2012

Nurul Izzah Ganti Anwar Pimpin Pakatan Rakyat?


SHAH ALAM , 4 Jan - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah  dijangka menggantikan ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai cabaran Pakatan Rakyat untuk pilihanraya umum ke 13 sekira Ketua Pembangkang itu  disabit kesalahan dan di hukum penjara atas tuduhan liwat.

Sumber-sumber Pakatan Rakyat  memberitahu Nurul Izzah akan diangkat sebagai sebagai “wajah” pakatan pembangkang jika Anwar terpaksa menjalani hukuman penjara sebelum PRU 13 diadakan.

Awal hari ini, Bloomberg memetik  Anwar sebagai berkata beliau bersama kepimpinan Pas dan DAP sudah mencapai persetujuan siapa akan menggantikan beliau jika dirinya disabit oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin ini.

Sumber-sumber memberitahu bahawa Nurul dilihat calon paling sesuai untuk memastikan gandingan kerjasama antara Pas, Dap dan Pkr masih utuh, meskipun ayahnya yang menjadi penggerak utama gagasan itu,  dipenjarakan.

Anwar menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati  bersalah di atas tuduhan liwat untuk kali kedua. Namun ramai menjangka, jika disabit kesalahan pun, hakim akan membenarkan hukuman itu ditunda sehingga hasil rayuan beliau diputuskan.

Meskipun demikian, Pakatan Rakyat mengambil segala langkah memastikan persiapan untuk PRU ke 13 tidak terencat hasil kesan daripada keputusan mahkamah itu.

Menurut sumber, Nurul dilihat oleh DAP dan Pas sebagai berupaya menggalas tanggungjawab ayahnya dan pada masa sama diterima oleh penyokong akar umbi kedua-dua parti itu.

“Walaupun beliau hanya kini Naib Presiden di dalam PKR, namun dalam konteks Pakatan, jelas masa sudah sampai untuk beliau memainkan peranan lebih besar jika ayahnya terpaksa dihantar ke penjara,” tambah sumber itu.

Anwar semalam dipetik berkata oleh TVSelangor bahawa sesiapa daripada PKR atau Pas boleh mengisi jawatan Perdana Menteri secara sementara jika gagasan pembangkang menawan Putrajaya.

Sekiranya  beliau di dalam penjara ketika itu namun masih mempunyai  mandat Pakatan untuk menjadi Perdana Menteri, langkah-langkah tertentu akan diambil untuk membolehkan beliau mengisi jawatan itu.

“Kalau ada muafakat esok siapa yang harus jadi pemimpin sementara dari PKR atau PAS, DAP tidak menawarkan mana-mana calon, saya tidak fikir itu satu masalah," kata Anwar.

"Siapa yang pegang sementara itu bukan perkara pokok. Sepertimana beberapa pemimpin PR kata kalau kita pilih Anwar dalam atau luar penjara bukan soalnya. rakyat sokong maka dengan izin Allah ia akan berlaku." kata Anwar kepada TvSelangor


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wkcpdo

No comments:

Post a Comment