Sunday 1 January 2012

Keputusan Aziz Mahu Bertanding PRU Adalah Yang Terbaik - Prof. Atory

SHAH ALAM, 31 DIS : Keputusan Pensyarah Undang- Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Dr. Abdul Aziz Bari mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 13, adalah yang terbaik bagi dirinya, kata Penganalisis Politik, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain.

Beliau yakin sebelum Aziz memutuskan untuk bertanding, pakar undang- undang itu sudah menimbang baik buruk berkecimpung dalam kancah politik negara.

Atory yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM) yakin latarbelakang Aziz sebagai ahli akademik yang disegani memungkinkan tokoh perundangan itu mudah diterima baik dipihak Pakatan Rakyat mahupun rakyat.

Aziz semalam ketika dihubungi AntaraPos.com mengesahkan beliau berbesar hati jika ditawarkan untuk bertanding pada PRU akan datang dan memilih untuk  cenderung kepada perjuangan Pakatan Rakyat yang mendokong ketelusan sistem perundangan negara.

Bermula esok, Aziz secara rasminya tidak lagi bergelar pensyarah di UIA.
 
Keputusan meletak jawatan itu diambil setelah beliau disiasat oleh pihak pengurusan universiti ekoran tindakannya mengulas titah Sultan Selangor bersabit pemeriksaan Jabatan Agama Islam (JAIS) ke atas sebuah gereja Ogos lalu. 

Aziz juga sebelum ini kerap muncul dipentas pembangkang bagi melontarkan pandangannya bersabit bidang kepakarannya, Perlembagaan Undang- undang. 

"Cara yang terbaik bagi dia. Dia berkonflik dengan UIA, bagi saya itu penyelesaian yang mana sebenarnya. Kalau dia masuk politik, maknanya dia tidak menimbulkan persoalan lagi. Samaada dia berpolitik atau tidak. Tidak ada lagi keraguan dibeberapa pihak. 

"Dan saya pasti tawaran itu difikirkan sebaik mungkin. Dia sebagai orang akademik, besar kemungkinan dia mendapat tempat dalam parti, terutama parti Pas," katanya.

Atory berkata, meskipun Aziz melangkah kedunia politik, beliau masih boleh meneruskan kajian dan penyelidikan sebagai ahli akademik.

"Untuk meneruskan penyelidikan tidak semestinya kita perlu menjadi ahli akademi sahaja. Macam saya jugak, dah pencen pun saya masih buat kerja akademi. 

"Tidak ada masalah yang penting ada geran, pembiayaan dan juga sokongan serta ada pembantu kajian yang membantunya," katanya.

Beliau juga berkata, keputusan mahu berpolitik ini juga membolehkan Aziz menilai sejauhmanakah perlaksanaan undang- undang dinegara ini.

"Ahli akademik ini lebih kepada teori dan politik lebih kepada praktikal. Mungkin dia nak melihat antara praktik dengan teori yang mana sebenarnya (digunapakai) dinegara ini," jelasnya.

Semalam Aziz menegaskan, meskipun beliau bersetuju untuk bertanding pada PRU akan datang, beliau enggan menjawat apa- apa jawatan dalam parti, sebaliknya bertekad memainkan peranan berkesan di Parlimen.

Aziz berkata beliau bersedia membantu memartabatkan sistem dua parti di negara ini, khususnya dalam proses peng gubalan dan perbahasan undang-undang di Dewan Rakyat.

Aziz dikatakan sedang mengintai kerusi Parlimen Sabak Bernam yang disandang Ahli Parlimen Umno, Abdul Rahman Bakri.

LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZpj

No comments:

Post a Comment