Tuesday 3 January 2012

Lagi Pemborosan Yayasan Selangor


KUALA KUBU BARU, 3 JAN : Yayasan Selangor didakwa meluluskan peruntukan lebih RM4 juta untuk membaik pulih kem Pusat Latihan Khidmat Negara PLKN di Ampang Pecah tanpa menyedari kontrak untuk program latihan belia itu tidak diperbaharui.
 
ADUN Kuala Kubu Baru Wong Koon Mun kesal kerana pimpinan Yayasan Selangor meluluskan peruntukan RM4.04 juta itu walaupun badan itu belum pulih setelah mencatatkan defisit RM7.4 juta pada tahun 2010.

Beliau berkata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekali lagi gagal menunaikan janji untuk memastikan perbelanjaan berhemah setelah ditegur oleh Sultan Selangor dua tahun lalu mengenai pemborosan di yayasan itu.

“Langsung tidak ada usaha oleh kerajaan negeri untuk memantau perbelanjaan Yayasan Selangor sehingga berlaku sekali lagi perbelanjaan yang boros,” kata beliau dalam satu kenyataan.

“Pegawai-pegawai Yayasan seolah-olah tidak menyedari kontrak untuk PLKN tidak diperbaharui untuk 2012. Persoalannya kenapa terburu-buru melaksanakan projek membaik pulih kem itu jika kontrak PLKN belum diperbaharui,” tambah beliau.

“Sikap tidak ambil peduli ini adalah satu bentuk penyelewengan kuasa,” tegas beliau.

Wong bimbang bahawa pusat di Ampang Pecah itu kini ibarat gajah putih dan akan ditinggalkan begitu sahaja sungguhpun menelan begitu banyak belanja untuk dibaik pulih.

Beliau berkata Khalid harus segera mengarahkan satu lagi audit dalaman untuk menyiasat pembaziran terbaru di Yayasan Selangor.

Tindakan harus diambil terhadap mana-mana pegawai yang didapati menggunakan dana awam secara keterlaluan.

Wong menyingkap beberapa pemborosan Yayasan Selangor sebelum ini termasuk :

-          Jamuan makan malam Ulang Tahun Yayasan Selangor RM 966,472
-          RM320,000 untuk khidmat perunding bagi Majlis Hari Raya
-          RM170,000 untuk majlis buka puasa
-          RM120,000 untuk membeli sampan
-          RM120,000 untuk membeli persalinan wanita


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcpRl

No comments:

Post a Comment