Saturday 31 December 2011

PKR Nafi Muslimat PAS Pinggirkan Isu NFC


WANGSA MAJU, 31 DIS : Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan bahawa sayap Muslimat PAS  meminggirkan diri dalam isu “kondo dan lembu”  Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin akur  pihaknya lebih menonjol  dalam memperjuangkan isu NFC tetapi menegaskan ini kerana  Muslimat Pas lebih aktif  membawa isu lain untuk diketengahkan.

Namun beliau tidak menjelaskan isu apa yang didokong oleh Muslimat PAS sehingga isu NFC tidak menjadi perhatian utama sayap wanita PAS itu. 

"Saya ingin menegaskan, muslimat Pas bersama- sama kami komited dalam menggerakkan laporan polis seluruh Negara (mengenai isu NFC)," kata Zuraida.

Beliau menafikan reaksi suram Muslimat Pas itu mungkin kerana tidak mahu diheret dalam membuat serangan peribadi terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sharizat Jalil.  

Suami Sharizat memiliki syarikat yang diberikan tender projek lumayan itu pada tahun 2007. 

PKR sebelum ini mendakwa  dana RM256 juta  dalam bentuk pinjaman dan geran  disalurkan sepenuhnya kepada NFC.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut bahawa projek ternakan lembu untuk daging oleh NFC gagal mencapai sasaran akibat kepincangan tertentu. 

Susulan laporan itu,  Zuraida dan pemimpin PKR lain mendakwa  NFC menyalah guna wang dengan membeli kondominium mewah di Bangsar dan Singapura, tanah di Putrajaya dan kereta mewah selain bercuti ke luar negara.  


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZpf

MIC Bidas Pembangkang Kerana Tolak Akta Hubungan Kaum


SHAH ALAM, 31 DIS : Tindakan Pakatan Rakyat menolak Akta Hubungan Antara Kaum secara tidak langsung menyanggah hasrat kerajaan untuk menjamin hak setiap rakyat tanpa mengira latar belakang disamping memperkuuhkan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan kesal dengan tindakan pembangkang menolak undang-undang yang penting itu dikala Malaysia menghadapi pelbagai cabaran yang menguji hubungan antara kaum di negara ini.
   
00:23-01:10
"Apabila kita (kerajaan) mencadangkan akta atau satu rang undang-undang yang baru, kita buat akta ini berdasarkan keperluan semasa. Apa yang penting adalah akta ini  membawa lebih banyak manfaat dan dapat membantu dalam membina sebuah negara yang lebih baik dalam …menjalin hubungan antara kaum di Malaysia,” kata beliau kepada Antarapos.com.

“Ini penting kerana sejak kebelakangan ini ada pihak yang ingin memecah-belahkan kesatuan rakyat Malaysia," kata Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC,  tanpa mengulas lanjut.

Beberapa pemimpin Pakatan menyifatkan Akta Hubungan Antara Kaum sebagai helah  Barisan Nasional (BN) untuk menarik sokongan rakyat melalui gagasan 1 Malaysia.

Walaupun undang-undang itu menjadi kelaziman di banyak Barat untuk memastikan tidak ada pihak yang didiskriminasi di tempat kerja atau dikecam kerana warna kulitnya, Pakatan menyifatkan akta itu tidak diperlukan.

Kamalanathan  menegaskan akta berkenaan diperlukan kerana ia akan memperkasa instituisi-instituisi yang sedia ada demi  memastikan semua bangsa diberikan layanan berpatutan dan munasabah.

01:53-02:21
"Saya pasti ia akan dapat membantu walau bagaimanapun akan ada satu dua pihak yang cuba mencabar dan lari daripada akta ini untuk kepentingan politik masing-masing, “kata beliau.

“Bagi saya  pembangkang tidak progresif di mana mereka asyik membangkang segala apa yang kita (kerajaan) buat kerana bagi mereka tidak mahu melihat sebuah negara yang membawa pembaharuan dan pembebasan demokrasi," tambah beliau.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZlo

PRU-13 : Gerakan Selangor Yakin Mampu Rampas Empat DUN, Satu Parlimen


KUALA LUMPUR, 31 DIS : Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Selangor yakin bahawa mereka mampu merampas kembali empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen yang mereka tewas kepada pembangkang di negeri itu semasa  Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008.
    
Kawasan berkenaan ialah DUN Teratai, Bukit Lanjan, Bukit Gasing dan Kota Alam Shah serta Parlimen Puchong.
    
Pengerusi Gerakan A.Kohilan Pillay berkata perkara ini didorong trend semasa pengundi di kawasan terbabit yang kembali memberi kepercayaan kepada BN untuk menerajui Selangor selepas hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri itu, yang berdepan pelbagai masalah sejak memerintah pada 2008.    
    
"Segala persiapan parti kini berada pada tahap yang amat memuaskan, dan kami sudah bersedia untuk mengatur strategi baru bagi memenangi kembali hati rakyat di negeri ini.

"Saya akan memastikan jentera pilihan raya Gerakan Selangor sudah bersedia dan akan membuat segala perancangan terbaik dengan mengkaji pelbagai perkara supaya tiada lagi ruang untuk pembangkang secara berterusan melemparkan tuduhan terhadap Gerakan dan BN," katanya. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZln

PKR Lancar Kempen Bebaskan Anwar 901, Sikap Diam Diri Majlis Peguam Dipersoal


WANGSA MAJU, 31 DIS : Parti Keadilan Rakyat malam tadi “membicarakan”  kes  liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di khalayak ramai dalam cubaan untuk mendesak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan  Ketua Pembangkang itu pada 9 Januari nanti.

Usaha itu bagaimanapun menerima sambutan hambar  dengan  hanya kira-kira 50 orang hadir di pelancaran Kempen Selamatkan Anwar 901 di Dewan Serbaguna Taman Melawati, Wangsa Maju.

Pada  majlis itu,  pemimpin-pemimpin PKR  berhujah mengenai apa yang mereka dakwa sebagai konspirasi kali kedua terhadap Anwar.  

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa rakyat untuk berkumpul di luar perkarangan mahkamah pada 9 Januari untuk membantah sebarang keputsan yang mensabitkan tuduhan itu.

"Cara politik adalah kita turun tunjukkan solidariti untuk beritahu pemimpin dan Perdan Menteri, kalau masukkan saudara Anwar kedalam penjara, rakyat akan bangkit lagi cepat dan tidak lagi berpeluk tubuh," tegas Shamsul.

"Oleh itu adalah tugas saya mengajak anda semua untuk bersama- sama dengan kita hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari depan bagi mendengar sendiri keputusan yang dibacakan oleh hakim dan menunjukkan sokongan kita kepada saudara Anwar," kata Shamsul.

Shamsul menyanggah  dakwaan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) yang mengatakan tunjuk perasaan yang bakal diadakan akan mengancam keamanan negara.

"Banyak pihak termasuk Perkasa memberi amaran kepada rakyat agar jangan menyertai himpunan pada 9 januari ini sebab kononnya akan wujud satu revolusi baru. Mana ada. Kita hanya nak datang berkumpul di mahkamah,” kata beliau.

"Kalau tidak boleh duduk didalam mahkamah, kita duduk diluar mahkamah. kalau tidak boleh duduk diluar mahkamah, kita duduk ditempat letak kereta. Mahkamah itu tempat terbuka, sejak bila pula mahkamah menjadi tempat tertututp ?," soal Shamsul.
 
Presiden Perkasa, ibrahim Ali baru- baru ini mendakwa kempen Selamatkan Anwar 901 akan mencetuskan revolusi baru seperti di Tahrir (Mesir) dan mahukan penganjur serta Anwar dikenakan tindakan dibawah Akta Hasutan.

“Mereka mahu bangkitkan revolusi seolah-olah di Dataran Tahrir, Mesir seolah-olah Anwar tidak bersalah," kata Ibrahim ketika mesyuarat majlis tertinggi Perkasa.

Shamsul semasa majlis pelancaran kempen itu turut mendakwa  pendakwaan terhadap Anwar berdasarkan bukti-bukti yang rapuh dan direkacipta.

"Saiful Bukhari Azlan (pengadu) sampai ditempat letak kereta pada jam 2:52 petang. Dia masuk lif jam 2:47 petang. Masa dah terbalik yang dikemukakan pihak pendakwaan. Lepas itu, ada gambar dia keluar lif, masuk lif semula, turun lif dan ke tempat letak kereta,” kata beliau .

"Persoalan utamanya adalah pertuduhan (kejadian liwat) dalam kondominium, bukan dalam lif, bukan dalam kereta dan bukan ditempat letak kereta. Kita mahu pihak pendakwaan buktikan," tegas Shamsul.

Anwar dituduh meliwat Saiful pada 26 Jun 2008 di 11-5-1 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara, Kuala Lumpur kira- kira jam 3.01 petang hingga 4.30 petang.

Jika disabit kesalahan, Anwar boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan di sebat.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim mempersoalkan sikap berdiam diri Majlis Peguam terhadap kempen bebaskan Anwar itu.

"Bar Council (Majlis Peguam), perlu ada pendirian. Adakah semua kes yang diheret ke mahkamah seperti kes rogol dan bunuh, tertuduh akan buat perkara seumpamanya (buat perhimpunan sedangkan mahkamah belum membuat keputusan)," kata beliau.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZlm

Anwar Dakwa Dakwat Kekal Bukan Jaminan PRU Telus


SHAH ALAM, 31 DIS : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa walaupun  Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) sudah mengumumkan pindaan peraturan bagi mewajibkan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum Ke 13 akan datang namun ia bukanlah jaminan bahawa pilihan raya di negara ini dapat dijalankan dengan bebas dan bersih.

Sebaliknya beliau berkata, masih terdapat banyak perkara yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepertimana yang dikemukakan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

“Namun demikian, perubahan kecil ini tidak seharusnya dilihat sebagai jaminan kepada proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas dan bersih sepenuhnya,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam satu kenyataan.

Ujarnya lagi, selain 10 cadangan yang disyorkan PSC untuk memperbaiki proses pilihan raya pihaknya juga perlu mempertimbangkan secara menyeluruh lapan tuntutan yang dikemukakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Saya percaya demokrasi dan proses pilihan raya bebas dan adil sewajarnya turut didukung dengan amalan serta pendekatan yang menjurus kepada kebebasan media dan kempen terbuka.

“Agensi media awam sewajarnya bersikap lebih adil dalam memberikan liputan untuk semua parti politik dan kempen politik parti-parti pembangkang sewajarnya tidak didiskriminasi menerusi tapisan melampau yang tidak munasabah serta mencabul hak kebebasan bersuara,” katanya.

Anwar menambah Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP komited dan menuntut agar PCS turut menumpukan perhatian kepada cadangan transformasi Bersih 2.0.

Kata beliau, PSC perlu mengkaji cadangan-cadangan itu sekiranya serius dalam menjamin pilihan raya yang bebas dan adil.

PSC akan membuat rumusan bagi 10 cadangan baru termasuk penggunaan dakwat kekal, yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen Mac depan.

Semalam Pengerusi PSC, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata keputusan mengenai peraturan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 akan diketahui pada 1 Februari depan.

Beliau berkata  peraturan itu sedang digubal dan kandungan dakwat masih dikaji oleh Jabatan Kimia dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pada 3 Disember lalu, SPR mengesahkan akan menggunakan dakwat kekal yang mengandungi “silver nitrate” pada pilihan raya umum akan datang, selepas tuntutan PSC menggunakan kaedah itu dipersetujui dan diluluskan oleh Parlimen.

Pada 3 Oktober lalu Dewan Rakyat telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya bagi mengkaji perkara-perkara berkaitan proses pilihan raya Malaysia.

Jawantankuasa ini diketuai oleh  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili daripada wakil BN diikuti oleh Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit), Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar), Tan Sri Dr. Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan P. Kamalanathan (BN-Hulu Selangor).

Sementara itu wakil pembangkang pula terdiri daripada Azmin Ali (PKR-Gombak), Dr. Mohd. Hatta Ramli (Pas-Kuala Krai) dan Anthony Loke (DAP-Rasah) manakala wakil daripada bebas ialah Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju).


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZlk

"Kehadiran" Aziz Bari Dalam PR Dialu-alukan


SHAH ALAM, 31 DIS : Pakatan Rakyat menyambut baik keputusan pakar perundangan Prof Dr Abdul Aziz Bari untuk mengambil bahagian dalam proses politik negara dengan berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Ahli Jawatankuasa Pas, Dr Hatta Ramli memberitahu AntaraPos.com, keputusan Aziz ini merupakan sokongan kepada Pakatan Rakyat meskipun tidak menjadi ahli politik tetapi angin perubahan yang dibawa itu sama seperti perjuangan Pakatan Rakyat.     

"Saya yakin Aziz Bari termasuk dalam golongan ini yang menyokong perjuangan Pakatan Rakyat. Jadi ia hak masing-masinglah sama ada dia hendak menyertai mana-mana parti atau tidak tetapi yang kita banggakan adalah sokongan kepada Pakatan Rakyat itu,"katanya. 

Petang tadi Aziz Bari telah mengesahkan bahawa beliau bersedia untuk menjadi wakil rakyat namun beliau menegaskan bahawa tidak akan masuk campur perkara yang berkaitan dengan hal ehwal parti politik.

Ujarnya lagi jika menyertai politik bukanlah bermakna harus terlibat dalam politik kepartian.  

Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai menjelaskan, perkara ini bukanlah sesuatu yang baru berlaku dan bagi Pas ia tidak menjadi masalah kerana apa yang lebih penting adalah sokongan Aziz kepada Pakatan Rakyat untuk bersama-sama berjuang dalam membela nasib rakyat.  

Sementara itu Ketua Publisiti DAP, Tony Pua memberisaranan kepada Aziz untuk membuat pilihan namun beliau menghormati jika keputusan yang dibuat Aziz itu adalah muktamad.     

"Professor Aziz saya rasa kena pertimbangkan sama ada menyertai mana-mana parti yang paling mempunyai falsafah atau ideologi yang paling dekat dengan prinsip-prinsip yang dipegang oleh beliau sendiri. Dan kami boleh berjuang bersama untuk mencapai hasrat kita dalam Pakatan Rakyat,"ujarnya. 

Abdul Aziz terlebih dahulu digantung tugas dari UIA kerana mengkritik campur tangan Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam negeri itu ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Pensyarah kontroversi ini berdepan dengan siasatan dalaman oleh UIA dan kini telah meletakkan jawatan di UIA yang berkuatkuasa hari ini. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZlj

13 Anggota PKR Ditahan Edar Risalah Kempen 'Bebas Anwar 901'


TANAH MERAH, 31 DIS : Seramai tiga belas anggota PKR Kelantan ditahan polis di dua lokasi berlainan di negeri itu semalam kerana mengedar dan memiliki risalah berkaitan kronologi perbicaraan kes Liwat II Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tujuh daripada mereka, termasuk ketua penerangan PKR Kelantan Roslan Puteh, ditahan di Tanah Merah ketika sedang mengedar risalah tersebut di sebuah pasar di situ pada kira-kira jam 3 petang.

Manakala enam lagi, antaranya ketua AMK negeri Mohd Azihan Che Seman, ditahan di satu sekatan jalan raya di Kuala Krai pada kira-kira 5.30 petang kerana memiliki risalah tersebut dalam kenderaan yang mereka naiki.

Pihak polis turut merampas risalah mengenai kronologi perbicaraan Anwar, risalah perbandingan pentadbiran BN dan Pakatan Rakyat dan bendera parti.

Mohd Azihan berkata pengedaran risalah tersebut adalah sebahagian daripada kempen mengajak rakyat menghadiri siri jelajah ceramah Anwar di Padang  Majlis Daerah Machang pada 5 Januari ini sebelum keputusan perbicaraannya diumumkan pada 9 Januari depan.

Sementara itu Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani memaklumkan kesemua tujuh anggota PKR yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis Tanah Merah untuk disoal siasat.

Mereka disiasat mengikut seksyen 4 (b) Akta Mesin Cetak kerana mengedar risalah tersebut yang diterbitkan oleh PKR.

Risalah itu juga telah dirampas dan turut difahamkan ketujuh-tujuh anggota PKR itu ditahan dalam lokap malam tadi dan berkemungkinan ditahan reman hari ini.

Kempen ‘Bebas Anwar 901′ dijadual diadakan di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini pada 9 Januari nanti. 

Mahkamah Tinggi dijangka akan membuat penghakiman pada hari itu berhubung kes Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZli