Thursday 29 December 2011

Mahfuz: Masjid Di Mekah Diroboh, Inikan Pula Di Alor Setar


SHAH ALAM, 29 DIS: Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar mempertahankan keputusan kerajaan negeri Kedah pimpinan parti itu merobohkan Madrasah Salihiah di Alor Setar dengan alasan ia dipersetujui oleh Yang DiPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
 
"Majlis Fatwa Negeri Kedah yang berada dibawah naungan Tuanku Sultan (Kedah) yang kini menjadi Yang Dipertuan Agong telah bersetuju untuk merobohkan bagi membina (Madrasah Salihiah) yang baru," kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
 
Madrasah berusia lebih seratus tahun itu akan dirobohkan untuk membina sebuah pusat membeli belah dan turut merangkumi pembinaan sebuah madrasah yang lebih besar.
 
Bagaimanapun ramai penduduk setempat menyifatkan keputusan meroboh Madrasah Salihiah sebagi terburu-buru.
 
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Kerajaan Pas Kedah perlu menggunakan kaedah fiqh yang lebih menyeluruh iaitu mengutamakan 'maslahah ammah' atau kepentingan awam berhubung keputusannya mahu merobohkan Madrasah Salihiah di sini.
 
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kaedah 'istibdal' (wakaf gantian) terhadap tanah wakaf khas milik madrasah itu untuk meneruskan keputusannya.
 
"Walaupun beliau (Azizan) hendak 'istibdal' tanah wakaf khas itu tetapi beliau tidak boleh tolak kepentingan orang ramai yang menuntut madrasah itu dikekalkan.
 
"Pucuk pimpinan negeri perlu bijak kerana dalam pemerintahan, pokok pangkal dalam membuat keputusan adalah mengutamakan 'maslahah ammah'," katanya.
 
Mahfuz berkata orang ramai tidak perlu terkejut dengan keputusan meroboh Madrasah Salihiah kerana Masjidil Haram, di Mekah pun dirobohkan untuk diganti dengan bangunan baru.
 
"Beritahu Datuk Mashitah, Masjid Chin di Masjidil Haram, Mekah pun orang robohkan," ujarnya sambil ketawa.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZZi

No comments:

Post a Comment