Wednesday 28 December 2011

Hasan Ali : Saya Di Kota Bharu Untuk Hadir Mahabbah Bukan Pohon Maaf


SHAH ALAM, 28 DIS : Ahli Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali menafikan beliau ke Kota Bahru semalam untuk memohon maaf kepada  Mursyidul Am Pas Datuk  Nik Aziz Nik Mat dan pucuk pimpinan parti kerana  mengkritik PAS.
  
Dalam satu kenyataan, Hasan membidas akhbar rasmi parti itu Harakahdaily kerana membuat laporan sedemikian wal hal apa yang berlaku ialah beliau dan bekas Timbalan Presiden parti Nasarauddin Mat Isa menghadiri majlis mahabbah.
   
Turut hadir pada majlis itu di kediaman Menteri Besar Kelantan adalah Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Sebenarnya saya dijemput untuk menghadiri satu majlis mahabbah melibatkan saya dan Ustaz Nasharudin Mat Isa bersama-sama dengan Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Timbalan Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden di kediaman rasmi Tuan Guru Mursyidul Am di JKR 10 Kota Bharu,” kata beliau.

“Majlis mahabbah tersebut berlangsung dengan penuh kemesraan, keakraban dan keikhlasan. Di antara perkara yang disentuh termasuklah halatuju parti, persediaan PRU ke13, dan perjalanan harakah sebagai lidah rasmi parti,” tambah Hasan.

“Kami telah memberikan penjelasan, pandangan dan input untuk diberikan perhatian oleh pucuk pimpinan parti demi mengukuhkan perjalanan parti dan sokongan rakyat terhadapnya,” kata beliau.

Hasan mengingatkan bahawa beliau sudah pun menarik balik kenyataannya yang mengkritik tindakan Pas mendokong konsep negara berkebajikan pada Sabtu lalu.

“Pada masa yang sama saya juga telah memohon maaf kepada pucuk pimpinan parti di atas keterlanjuran saya itu. Soal saya turun ke Kota Bharu untuk memohon maaf kepada pucuk pimpinan seperti yang dilaporkan oleh harakahdaily dan dipetik oleh kebanyakan saluran media adalah tidak benar sama sekali,” kata beliau.

“Saya terkilan dengan laporan harakahdaily itu walaupun lidah rasmi parti tersebut kerapkali diingatkan supaya tidak memutarbelit fakta yang boleh menimbulkan keraguan dan perpecahan,” tambah bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu.

Hasan berkata beliau “amat terharu”  terhadap penghargaan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan terhadap beliau dalam meneruskan perjuangan memartabatkan Islam di negara kita.

Harakah memetik Nik Aziz sebagai berkata, Hassan telah bertemu dengan pimpinan tertinggi PAS dan menarik balik segala kenyataannya terhadap PAS sebelum ini.

Akhbar itu mendakwa Hassan Ali juga telah meminta maaf dari pimpinan PAS. 

"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya,” Harakah memetik Nik Aziz sebagai berkata.

"Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hassan," tambah  Nik Aziz. Laporan sama turut dimuatkan oleh Bernama, agensi nasional negara.
 
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas Pusat Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Hasan, Nasharuddin dan Ketua Penerangan Pas Selangor, Shaari Sungib akan dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung kemelut dalaman yang melanda parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali kemudiannya mendakwa Hasan dan Nasaruddin terperangkap dalam agenda Umno untuk merealisasikan kerajaan perpaduan antara Umno dan Pas.

Kedua-duanya bingkas menepis dakwaan Mustafa itu dan mendakwa masih setia dengan perjuangan Pas.

Kemelut dalaman Pas ini tercetus apabila Saari Sungib mengumumkan Hasan tidak mendapat pencalonan yang mencukupi bagi melayakkannya menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke- 13 akan datang.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZVf

No comments:

Post a Comment