Sunday 25 December 2011

Hasan Tarik Balik Kenyataan Gesa Pas Batal Tubuh Negara Berkebajikan


KUALA LUMPUR, 24 DIS : Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali hari ni menarik balik kenyataannya menggesa Pas membatalkan hasrat menubuhkan Negara Berkebajikan.

Hasan berkata, beliau akur bahawa konsep Negara Berkebajikan diluluskan pada muktamar parti lalu dan juga oleh Majlis Syura Pas. 

"Saya sebagai ahli jawatankuasa Pas pusat mengakui terdapat unsur ketelanjuran saya waktu membuat ulasan terhadap perkara itu. Dengan ini saya menarik balik komen saya mengenai 'Negara Kebajikan' tersebut. Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap ketelanjuran saya itu,"katanya.
 
Dalam sidang media di kediamannya sebentar tadi, Dr Hasan turut menegur akhbar parti itu, Harakah kerana tidak langsung memberi ruang kepada beliau mempertahankan diri daripada tuduhan-tuduhan yang dilontar oleh sesetangah pemimpin Pas berhubung pendiriannya mengenai penyatuan orang Melayu.

Dr Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor menyatakan kesediaan untuk tampil memberi penjelasan kepada pucuk pimpinan parti yang sebelum ini mengarahkan beliau, bekas Timbalan Presiden parti, Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungip untuk tampil bagi meleraikan kemelut dalaman parti itu. 

Hasan sebelum ini pernah menyatakan bahawa beliau menolak Negara Berkebajikan yang disebut oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada Muktamar tahunan Pas yang lalu. 

Tindakan Hasan itu bagaimanapun dibantah keras pimpinan Pas yang lain termasuk Mursyidul Am Pas yang menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas. 

Namun Hasan pada sidang media hari ini mengakui beliau "bersetuju" dengan Negara Kebajikan yang disebutkan Hadi. 

“Saya sebagai ahli dan pimpinan, saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini.

“Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan,” katanya.
 
Sementara itu Hasan turut menolak dengan baik pelawaan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali untuk menyertai Pertubuhan tersebut kerana selari dengan perjuangan memperkasakan Melayu, Islam dan Raja di negara ini.

Menurut Hassan, beliau mahu terus fokus dalam perjuangan partinya dalam memberi impak kepada rakyat Malaysia.

"Sehingga hari ini, saya tidak berhajat (menyertai Perkasa). Saya nak menumpukan sepenuhnya kepada mesej yang kami bawa selama ini iaitu Islam, Melayu dan institusi raja itu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Ibrahim Ali kalau misalnya ada tawaran dan sebagainya. Di peringkat ini, beri saya peluang untuk berjuang dalam wadah  yang sedia ada,"ujarnya lagi. 


http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJZl

No comments:

Post a Comment