Friday 23 December 2011

Mahkamah Dapati Khir Bersalah Tuduhan Rasuah


SHAH ALAM, 23 DIS : Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo didapati bersalah di atas tuduhan membeli dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini untuk kepentingan diri dengan menggunakan kedudukan sebagai ketua kerajaan negeri empat tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi. 

Hakim Mohtaruddin Baki dalam penghakimannya memberitahu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ADUN Sungai Panjang itu tanpa menimbulkan sebarang keraguan.
 
Mohtarudin kini sedang mendengar hujah mitigasi dari peguam Khir sebelum menjatuhkan hukuman.
 
Khir menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan di mana beliau kemungkinan menghadapi hukuman dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Jika denda itu melebihi RM2,000, Khir bakal hilang kelayakannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.  

Beliau diwakili pasukan peguam yang diketuai oleh Jahaberdeen Yunoos, M Athimulan dan Kamarul Hisham Kamaruddin.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7  di sini pada 29 Mei 2007.


http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJRi

No comments:

Post a Comment