Monday 26 December 2011

TERAS Sedia Didik Pengundi Pilih Calon Supaya Islam Terjamin


SHAH ALAM, 26 DIS : Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menasihati pengundi mengenai calon- calon yang perlu di pilih pada Pilihan raya Umum ke 13 bagi memastikan mereka yang menang tidak “merosakkan” Islam. 

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) , Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pihaknya juga sanggup menyertai sebarang muzakarah antara Umno dan PAS untuk memupuk kerjasama yang boleh menguatkan perpaduan orang Melayu. 

"Jenis kepimpinan yang kita nak ialah jangan sampai agama menjadi rosak. Bagi saya kita ada masalah pemimpin- pemimpin sekarang ini yang membenarkan agama menjadi rosak padahal pemimpin diamanahkan untuk menegakkan agama, memastikan agama itu kuat dan kukuh.
“Bagi Teras kepimpinan yang kita harapkan adalah siddiq dan menegakkan agama. Melihat kepada contoh pemimpin sekarang, apakah kita boleh klonkan pemimpin yang bagus?,” Mohd Azmi memberitahu AntaraPos. 

Justeru, Mohd Azmi berkata NGO yang dipimpin beliau mempunyai tanggungjawab untuk menasihati pengundi Islam mengenai calon- calon yang harus didokong mereka. 

"Saya kira Teras punya kerja dalam pilihan raya adalah mendidik rakyat Melayu-Islam supaya tahu memilih pemimpin, kriterianya dan apa implikasinya dan juga kenapa penting memilih pemimpin.
“Orang Melayu tak boleh menyendiri dan bebal dalam politik. Jadi gerakan Teras ni tidak terlibat dalam politik kepartian tetapi programnya sangat memberi implikasi kepada politik," tambah aktivis itu yang juga Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim). 

Ditanya sama ada beliau dan pimpinan kanan Teras sanggup menawarkan diri untuk bersaing dalam pilihan raya umum akan datang, Mohd Azmi berkata usaha sedemikian tersasar daripada matlamat perjuangan badan itu. 

"Pilihan raya bukan medan teras. Kita hormati mereka yang sanggup untuk berada di medan itu tetapi Teras ingin menjadi pendidik kepada umat bagaimana nak memilih pemimpin, wakil rakyat.
“Saya kira Teras lebih selesa buat kerja itu daripada Teras sendiri duduk dalam gelanggang mengatakan kamilah yang terbaik, sila pilih kami. Lebih baik kita mengambil langkah membantu orang Melayu yang kini masih lagi kritikal dalam memilih pemimpin. Kita banyak lagi beremosi dalam memilih pemimpin," kata beliau. 
        
Mohd Azmi juga menegaskan pihaknya mahu Umno dan Pas memupuk kerjasama yang boleh membantu mengupayakan Melayu dan Islam ke tahap yang lebih tinggi. 

Teras, menurut beliau, boleh memainkan peranan dalam majlis-majlis muzakarah untuk menyatakan kebenaran mengenai nasib orang Melayu. 

“Kita bersedia dan sanggup untuk bersama dalam pelbagai muzakarah. Mungkin Teras tidak boleh jadi perantara kerana kami rasa tidak terlalu lengkap diri (sempurna). 
Kami sedar diri bahawa menjadi perantara ini seolah macam kita yang terbaik tetapi lebih baik kami menyatakan kami bersedia untuk menyertai sebarang muzakarah antara kedua-dua pihak. Kami bersedia menyatakan kebenaran sehingga kita berprinsipkan biar kita menguatkan yang benar, bukan membenarkan yang kuat," tegas aktivis itu.  


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJhn

No comments:

Post a Comment