Sunday 25 December 2011

Lelaki Pangkat Datuk Tiada Kaitan Dengan NFC


PETALING JAYA, 25 DIS : Pengerusi Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam menyatakan seorang lelaki berpangkat Datuk yang ditahan reman oleh pihak polis tiada kaitan dengan beliau mahupun ahli keluarganya. 

Menurut beliau, ahli peniagaan itu juga tidak pernah berkhidmat dengan NFC. 

Semalam, reman terhadap lelaki tersebut berhubung kes dana NFC dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara disambung selama tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes itu di bawah Akta SPRM 2009.

Portal berita sebelum ini mendedahkan lelaki berusia 45 tahun itu difahamkan memiliki satu syarikat  pengangkutan yang pada satu ketika pernah mempromosi perusahaan itu melalui iklan di saluran televisyen nasional.

Syarikat yang dikatakan mempunyai modal berbayar RM200,000 itu juga didakwa menyediakan perkhidmatan untuk bayaran bil dan juga cukai jalan melalui rangkaiannya di seluruh negeri.

Beliau juga dikatakan turut memiliki syarikat limosin yang menyediakan perkhidmatan di sekitar Kuala Lumpur.

Selain perkhidmatan pengangkutan biasa, profil syarikat berkenaan turut mendakwa menyediakan perkhidmatan limosin dilengkapi pengawal peribadi untuk pelanggan VVIP.

Profil itu juga mendakwa lelaki tersebut berpengalaman dalam menguruskan projek pemasaran berskala besar, antaranya bernilai lebih RM1.5 bilion.

Menurut polis, suspek juga menjalankan perniagaan agensi pekerja asing.

Pengarah jabatan siasatan jenayah komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan semalam dilaporkan sebagai berkata, lelaki itu ditahan ketika berada di jabatan itu pada hari Rabu berhubung cubaan untuk menyogok pegawai polis.

Syed Ismail juga berkata suspek pernah ditahan sebelum ini berhubung siasatan ke atas dua kes penipuan, masing-masing di Bercham dan juga di Cheras mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,

Syed Ismail bagaimanapun enggan mengesahkan laporan media yang mengaitkan lelaki berkenaan dengan skandal NFC.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJdk

No comments:

Post a Comment