KUALA LUMPUR, 21 DIS : Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek hari ini menyatakan beliau mempunyai kesemua rekod transaksi daripada sumbangan individu mahupun syarikat yang didermakan bagi tujuan program di kawasannya yang disalurkan ke dalam akaun peribadi beliau.
Bercakap pada satu sidang media di parlimen hari ini, Awang berkata sumbangan berkenaan diuruskan oleh seoang pegawai khas beliau.
"Banyak syarikat dan individu derma untuk jalankan kegiatan dan program untuk rakyat Bachok, bahagian saya. Semua diuruskan melalui akaun saya.
"Rekod ada. Siapa bagi, ada. Perbelanjaan pun ada," katanya lagi yang menambah, rekod berkenaan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Awang lagi, deposit wang yang dimasukkan ke salah sebuah akuan peribadinya seperti yang didakwa sebuah blog itu dibuka sejak 2004 untuk membiayai program di kawasan Bachok.
Sumbangan dalam bentuk cek dan tunai itu katanya digunakan untuk program seperti bantuan Hari Raya RM100 untuk seramai 4,000 keluarga dan juga kelas tuisyen pelajar di 33 sekolah rendah.
Katanya, beliau menerima semua sumbangan melainkan ia diberikan dengan niat tertentu seperti untuk mendapatkan projek.
Walau bagaimanapun tegasnya, beliau tidak ada kena mengena dengan penganugerahan kontrak kerana ianya dibuat pada peringkat jawatankuasa dan beliau hanyalah seorang timbalan menteri.
No comments:
Post a Comment