Saturday 31 December 2011

13 Anggota PKR Ditahan Edar Risalah Kempen 'Bebas Anwar 901'


TANAH MERAH, 31 DIS : Seramai tiga belas anggota PKR Kelantan ditahan polis di dua lokasi berlainan di negeri itu semalam kerana mengedar dan memiliki risalah berkaitan kronologi perbicaraan kes Liwat II Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tujuh daripada mereka, termasuk ketua penerangan PKR Kelantan Roslan Puteh, ditahan di Tanah Merah ketika sedang mengedar risalah tersebut di sebuah pasar di situ pada kira-kira jam 3 petang.

Manakala enam lagi, antaranya ketua AMK negeri Mohd Azihan Che Seman, ditahan di satu sekatan jalan raya di Kuala Krai pada kira-kira 5.30 petang kerana memiliki risalah tersebut dalam kenderaan yang mereka naiki.

Pihak polis turut merampas risalah mengenai kronologi perbicaraan Anwar, risalah perbandingan pentadbiran BN dan Pakatan Rakyat dan bendera parti.

Mohd Azihan berkata pengedaran risalah tersebut adalah sebahagian daripada kempen mengajak rakyat menghadiri siri jelajah ceramah Anwar di Padang  Majlis Daerah Machang pada 5 Januari ini sebelum keputusan perbicaraannya diumumkan pada 9 Januari depan.

Sementara itu Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani memaklumkan kesemua tujuh anggota PKR yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis Tanah Merah untuk disoal siasat.

Mereka disiasat mengikut seksyen 4 (b) Akta Mesin Cetak kerana mengedar risalah tersebut yang diterbitkan oleh PKR.

Risalah itu juga telah dirampas dan turut difahamkan ketujuh-tujuh anggota PKR itu ditahan dalam lokap malam tadi dan berkemungkinan ditahan reman hari ini.

Kempen ‘Bebas Anwar 901′ dijadual diadakan di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini pada 9 Januari nanti. 

Mahkamah Tinggi dijangka akan membuat penghakiman pada hari itu berhubung kes Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZli

No comments:

Post a Comment