Friday 30 December 2011

Perbicaraan Kes Saman RM30 Juta Guan Eng Ditetapkan 2 April Depan


KUALA LUMPUR, 30 DIS : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 2 hingga 6 April depan bagi perbicaraan kes saman malu RM30 juta difailkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung kenyataannya mengaitkan UMNO dengan demonstrasi dan cubaan membakar ibu pejabat DAP di Pulau Pinang. 

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan tarikh itu selepas berbincang bersama peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Zainal Abidin dan peguam Latheefa Koya mewakili defendan.

Zainal Abidin, 51, memfailkan saman itu pada 24 Oktober lalu.

Selain Lim yang juga Setiausaha DAP, turut dinamakan sebagai defendan ialah Parti Keadilan Rakyat selaku pemilik laman berita elektronik Keadilan Daily dan akhbar Suara Keadilan, Segmen Fleksibel Sdn Bhd iaitu syarikat penerbitan Keadilan Daily dan Suara Keadilan, dan ketua pengarangnya, Fazallah Pit. 

Dalam pernyataan tuntutan itu, Zainal Abidin mendakwa pada 3 Julai lalu, Guan Eng menerbitkan suatu kenyataan akhbar melalui e-mel yang kemudiannya disiarkan di Keadilan Daily pada 3 Julai dan di akhbar Suara Keadilan pada 5 Julai lalu. 

Zainal Abidin berkata, kenyataan Guan Eng itu antara lain membawa maksud kononnya beliau terbabit dalam kegiatan mengguling Ketua Menteri Pulau Pinang melalui cara yang salah serta menyembunyikan penglibatannya dalam satu demonstrasi ganas yang berlaku di Komtar dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai lalu. 

Beliau berkata, pada 18 Ogos lalu, Guan Eng mengeluarkan satu lagi kenyataan menyinggung di hadapan sekumpulan wartawan yang disiarkan di laman berita elektronik, The Malaysian Insider, pada hari yang sama. 

Zainal Abidin berkata, antara lain kenyataan itu membawa maksud kononnya beliau merancang untuk mensabotaj premis parti DAP di Pulau Pinang, dan kononnya beliau terbabit dalam mencetuskan cubaan membakar premis itu. 

Beliau berkata, akibat kenyataan itu, ia merosakkan reputasinya dan menjejaskan kepercayaan parti induk terhadapnya. 

Zainal Abidin menuntut ganti rugi RM30 juta, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan suatu injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada terus mengeluarkan atau menyiarkan kenyataan fitnah itu. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZhh

No comments:

Post a Comment