Thursday 22 December 2011

Keluar Pas : Hasan Sifatkan Kenyataan Pemimpin Pas Tidak Matang


KUALA LUMPUR, 22 DIS : Ahli Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hassan Ali hari ini menyifatkan  gesaan pemimpin tertentu dalam Pas untuk beliau keluar daripada parti itu sebagai “keterlaluan dan tidak matang.”
 
Hasan menegaskan beliau tetap “sangat cinta dan kasih” kepada Pas namun merelakan masa dan suasana menentukan masa depannya dalam parti itu.
 
"Apa pun dalam hal perjuangan … saya sangat cinta dan kasih kepada parti.  Tetapi kita kena tengok juga masa, suasana dan sebaganya sebab kita manusia yang berfikir. Perkara ini bergerak, berubah semasa ke semasa sebagainya,” kata Hasan dalam program ‘Soal Jawab”   TV3 yang disiarkan semalam.
 
“Hanya Allah S.W.T sahaja menentukan ke mana kaki saya, ke mana badan saya, ke mana pemikiran dan tubuh badan saya,” tambah beliau. 
 
Hasan berkata desakan-desakan untuk beliau keluar parti oleh pemimpin tertentu Pas dilontarkan oleh mereka yang tidak memahami rasional di sebalik kenyataan-kenyataan yang dibuatnya bersabit perpaduan orang Melayu demi Islam.
 
" Saya nampak kenyataan yang sebegitu… agak keterlaluan. Mereka mengulas hal mengenai perpaduan yang saya perjuangkan selama ini dan hal mengenai saya digugurkan itu. Tetapi apabila dibawa sehingga pintu terbuka untuk saya keluar parti, itu bukan jawapan yang baik, bukan jawapan yang matang kepada seorang pemimpin yang matang,” tambah beliau.         
 
Naib Presiden  Pas Mahfuz Omar dan Setiausaha Agong parti Datuk Mustafa Ali  membayangkan bahawa Hasan harus meninggalkan Pas jika tidak menerima perjuangan parti itu yang kini menjadikan konsep Negara Berkebajikan sebagai fokus utamanya.
 
Hasan sebelum ini menegur kedua-dua pemimpin itu selain Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungib kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang disifatkan berniat jahat dan fitnah.
 
Saari mencetuskan kemelut itu apabila beliau membuat pendedahan mengejut bahawa Hasan tidak  mendapat pencalonan mencukupi daripada cawangan untuk mempertahankan kerusi DUN Gombak Setia.
 
Ketua Penerangan Pas Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempertahankan agenda perpaduan hari ini berkata Exco Selangor itu beserta Saari dan Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa akan dipanggil bagi meleraikan kemelut itu.
 
Hasan dan Nasharudin  sebelum ini menegur tindak tanduk segelintir pemimpin Pas yang menurut mereka menghakis wajah Islam parti itu  kerana sanggup berkompromi secara melampau. 
 
Dalam wawancara TV3 itu, Hasan mempertahankan pendirian bahawa wujud keadaan tidak seimbang di dalam Pas dari segi pengaruh ulama dan golongan profesional.
 
Keadaan itu mempengaruhi  hala tuju parti itu yang kini memperjuangkan konsep Negara Berkebajikan dan bukan lagi Negara Islam.
 
 “Dari segi kuantiti, saya nampak sudah ada perubahan. Daripada segi kualitinya, boleh bincang panjang. Kuantiti dalam Pas pusat satu ketika dahulu, 65-70 peratus adalah ulama. Manakala 30-35 peratus terdiri daripada orang professional,” kata Hasan.
 
" Tapi sekarang berbeza. Maknanya 65-75 peratus orang profesional manakala 30-35 peratus golongan ulama.   Ketidakseimbangan itu bagi saya akan mempengaruhi corak pengurusan, pentadbiran dan hala tuju parti,” tegas beliau..  
 
Hasan sebelum ini berkata Pas semakin dikuasai oleh golongan bukan ulama yang lebih cenderung mengamalkan politik akomodasi atau kompromi sehingga sanggup mengorbankan prinsip perjuangan asal parti itu.
 
Beliau menegaskan mempunyai fakta dan bukti bahawa masyarakat yang selama ini menyokong Pas bercadang menarik balik sokongan itu kerana kecewa perjuangan asal parti dipinggirkan.


http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJJo

No comments:

Post a Comment