Friday 30 December 2011

Dakwaan Salah Guna Wang Zakat Berbaur Politik


PUTRAJAYA, 30 DIS : Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali menyifatkan dakwaan penggunaan wang zakat bagi pembayaran kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain, sebagai berbaur politik.

Che Mat, yang juga setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), berkata kes seperti itu sepatutnya tidak timbul kerana pembayaran tersebut dibuat dengan menggunakan peruntukan geran kerajaan.

"Oleh demikian, ada sesetengah individu yang nak sebut kita menyeleweng duit dan sebagainya, adalah tidak betul sama sekali demi mempertahankan kesucian umat Islam dan kredibiliti MAIWP sebagai satu-satunya badan berkuasa agama di Wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini, semalam. 

Che Mat berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan tiga responden membabitkan Jamil Khir, Che Mat dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain.

Pembayaran kos guaman tersebut adalah membabitkan kes tuntutan qazaf Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Dr Muhammad Yamin Ismail telah menjelaskan bahawa pihaknya mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi tujuan pembayaran yuran guaman.

Che Mat turut menjelaskan bahawa penyelewengan bukan dasar dan hala tuju jabatan terutama jabatan agama atau MAIWP.

Katanya sebagai umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan, mereka seharusnya memberi tumpuan kepada tugas asasi iaitu menyatukan dan memperkasakan umat Islam.
 
"Saya menyeru supaya perkara seperti ini diambil iktibar, diambil perhatian oleh masyasrakat kita sendiri supaya kita dapat sama-sama memerhati bahawa kita harus bersatu-padu, harus memperkasakan umat Islam.

"Itulah harapan kita, supaya kita dipandang mulia oleh orang lain dan sebagai umat yang betul-betul mengikut landasan Islam yang benar," katanya. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZZn

No comments:

Post a Comment