Tuesday, 20 December 2011

KOMENTAR | Bab Politik : PAS Harus Ambil Iktibar Susila Umno


KOMENTAR, 20 DIS : Sebelum Hasan Ali membuka mulut lebih kerap untuk memperjelaskan landasan perjuangannya, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mencabar rakan beliau, Nasharuddin Mat Isa supaya membuat perisytiharaan sama ada bekas Timbalan Presiden PAS itu adalah “agen Umno” yang mahu merosakkan PAS dari dalam. 

Cabaran itu juga dipanjangkan kepada Hasan Ali yang dianggap pimpinan PAS hari sebagai rakan regu Nasharuddin yang kini dihukum sebagai “duri dalam daging” dan “gunting dalam lipatan” politik PAS hari ini.

Begitu meruncing politik PAS kini. Pemimpin kanan seperti Mustafa Ali tidak segan silu menyelar pemimpin lain dalam parti itu sebagai ejen atau petualang untuk parti lawan. 

Ucapan terus terang itu langsung tidak menurut susila sebuah parti Islam. Terkecuali jika PAS (termasuk Dewan Syura) kini merasakan ia telah dianiayai atau dikhianati oleh kedua-dua pemimpin PAS itu.

Mungkin Mustafa Ali berpegang kepada ayat berikut: “Allah tidak menyukai perkataan buruk (yang diucapkan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah Maha Mendengsar dan Maha Mengetahui.” (An Nissa ayat 148).

Persoalannya mengapa begitu cepat Mustafa Ali menjatuhkan hukuman. Apa beza tindakan beliau dengan keputusan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib yang mendedahkan kemungkinan Hasan Ali tidak akan dicalonkan dalam Pilihanraya Umum ke-13 kerana mendapat undi “kurang berbanding tiga calon lain” bagi mempertahankan kerusi Gombak Setia.
Sudah adakah penyiasatan khusus dibuat berhubung dakwaan tiba-tiba Hasan Ali dan Nasharudin diberi tempat dalam ruang media arus perdana? Hasan dijemput dalam program Bicara Rakyat di RTM1 serta program Halaqah TV9 bersama Datuk Dr Harun Din. Sebelum itu, beliau diberi ruang agak luas untuk wawancara dengan  Mingguan Malaysia. 

Jika benar Hasan sudah menjadi agen Umno kerana muncul dalam program media arus perdana, tidakkah Datuk Dr Harun Din juga turut terpalit dalam gerakan melemahkan PAS dari dalam.
Bagaimana reaksi ahli PAS? Benarkah dakwaan Nasharuddin bahawa golongan sekular, Erdogan, Anwaristas yang terlampau kreatif untuk ke Putrajaya bersama Pakatan Rakyat kini menguasai pimpinan PAS sehingga menggelincirkannya dari landasan perjuangan PAS?

Apakah begitu lemah dan selekeh sekali cara pimpinan PAS menyiasat dan menjatuhkan hukuman terhadap sesama pemimpin yang tidak diserasi golongan ini? 

PAS sebagai sebuah gerakan Islam untuk melakukan islah atau reformasi politik harus dihormati. Bagaimanapun PAS sebuah parti politik nampaknya mengamalkan pecak silat politik yang agak tohor dan kotor. Nilai Islam agak larut pada citra politiknya hari ini.

Yang kurang ialah mungkin anutan kepada pesan Allah: “Jika kamu menyatakan sesuatu kebajikan, menyembunyikannya atau memaafkan sesuatu kesalahan orang lain, maka sungguh Allah Maha Pemaaf, Mahakuasa.” (An Nisa ayat 149). Di sini letaknya adab dan susila politik Islam.

Sehubungan itu, bekas Naib Presiden PAS yang pernah melompat menyertai Umno, Nakhaie Ahmad menganggap perlu ada suara gelombang ketiga di kalangan orang Islam-Melayu untuk memastikan perpaduan di kalangan mereka (tanpa mengira anutan ideologi parti mana sekalipun) sentiasa terjamin. 

Mungkinkah ini yang dimaksudkan Hasan Ali dan Nasharuddin hingga mahu menggerakan instrument politik ketiga bagi melangkaui politik PAS yang semakin sempit dan berbaur ketidakikhlasan dalam perjuangan. 

Seharusnya pemimpin PAS hari ini belajar dari satu lembaran sejarah musuh politik mereka – Umno. Sayugia diingat Umno adalah saingan politik dan tidak disalahertikan sebagai musuh akidah. 

Ini pentinga kerana dengan melonggarkan syarat mengkritik dan menghukum akidah orang lain, akidah PAS sendiri mungkin rosak. Ingatlah kisah Abu Talib, bapak saudara Rasulullah yang menggadai nyawa dan kehormatan mellindungi baginda. Sudah beliau seorang yang baik di segi perjuangan politik Rasulullah, tetapi tanpa izin Allah, beliau tidak sempat mengucap dua kalimah syahadah di hujung hayatnya. 
Rakan politik PAS hari ini bagaimana? 

Pelajaran yang boleh digunakan PAS untuk membentuk gerakan politik yang lebih bersusila ialah begini:

Pada 24 april 1987 berlaku perpecahan paling besar dalam sejarah Umno. Presiden ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan politiknya dicabar oleh kumpulan yang dikenali sebagai team B. Kumpulan yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah ini menggabungkan tenaga ahli Umno yang tidak bersetuju dengan corak kepemimpinan Dr Mahathir.

Yang agak aneh sedikit ialah, Tun Musa Hitam yang ketika itu Timbalan Presiden turut berkongsi pentas politik dengan Tengku Razaleigh. Walhal tiga tahun sebelum itu, Tengku Razaleigh sendiri buat kedua kalinya mencabar Musa Hitam untuk jawatan nombor dua dalam parti. Kali ini mereka berssatu untuk menumbangkan Dr Mahathir.

Dr Mahathir ketika itu dibantu oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba yang sebelum itu mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri apabila Musa Hitam merajuk dan melepaskan jawatan berkenaan. Ghafar perlu merebut jawatan Timbalan Presiden daripada Musa Hitam demi mendapat pengesahan moral untuk beliau mengisi Timbalan Perdana Menteri.

Termasuklah dalam team A Dr Mahathir adalah ahli-ahli politik yang hebat-hebat belaka. Antaranya termasuklah Ketua Wanita, Rafidah Aziz, Anwar Ibrahim, Rahim Thamby Chik dan sebagainya. Tidak kurang hebat juga ialah penyokong Tengku Razaleigh. Di antaranya termasuk Abdullah Badawi, Radzi Sheikh Ahmad.

Pecah Umno. Meskipun kemenangan berpihak kepada Team Dr Mahathir (kecuali Abdullah Badawi yang dapat menyelinap masuk dalam senarai naib presiden), permusuhan team melawan team B tidak tamat selepas pengumuman muktamad pemilihan dibuat. Bersenjatakan peraturan dan undang-undang, team B berjaya mendapat perisytiharan mahkamah bahawa Umno adalah sebuah parti haram di segi perundangan kerana proses mesyuarat di beberapa bahagian cacat.

Jeneral-jeneral bersara Umno seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn tidak berdiam diri. Mereka menyokong team B  untuk mendaftar semula Umno dengan panggilan Umno Malaysia. Pendaftar pertubuhan tidak meluluskan permohonan itu tetapi sebaliknya menerima permohonan Team Dr Mahathir untuk mendaftarkan Umno Baru.
Buat seketika orang Melayu hilang kerajaan. Pengharaman Umno memberi peluang kepada MCA untuk mengambil alih kerajaan beberapa jam sehingga Umno Baru selamat didaftarkan. Bilangan kerusi satu lagi parti politik Melayu – PAS – terlalu kecil ketika itu untuk mengambil alih kerajaan dan memastikan bahawa orang Islam-Melayu terus menjadi kerajaan. 

Pada peringkat permulaan Dr Mahathir mengharamkan sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menyebabkan Umno menjadi parti tidak sah daripada menyertai Umno baru. Maka Tengku Razaleigh dan pemimpin-pemimpin bekas Umno tiada tempat untuk bernaung dalam politik. Hendak menyertai Umno baru dihalang. Maka terpaksalah mereka berputus arang berkerat rotan dan mengikuti Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46.

Parti baru itu kemudian bekerjasama dengan PAS untuk menubuhkan apa yang dipanggil Gagasan Rakyat. Berkat kerjasama itu, gagasan itu berjaya menakluki Kelantan dalam pilihanraya 1990. Sehingga hari ini Kelantan menjadi kubu PAS. 

Selepas Semangat 46 didapati tidak betah berkawan dengan PAS, parti yang diasaskan oleh Tengku Razaleigh itu menyembah bumi. Masing-masing mendapat “pengampunan” Dr Mahathir dan kembali ke pangkuan Umno (Baru). Dari Tengku Razaleigh sehingga setiausaha akhbarnya, Sabree Cheek dan Timbalan Presiden Semangat 46, Rais Yatim, memakai baju umno semula. 

Penentang Dr Mahathir kemudian diberi kepercayaan untuk turut menganggotai kabinet Dr Mahathir apabila kedudukan politiknya dalam Umno (baru) bertambah kuat. Abdullah Badawi menjadi Menteri, (kemudian Perdana Menteri)  begitu juga dengan Rais.  Sabree  juga turut menjadi Menteri. 

Demikian pengalaman perpaduan dalam Umno. Dalam Pas bagaimana pula? PAS perlu membezakan dil antara gerakan islam dengan sebuah parti politik islam. Umno yang selalu diherdik dan dicap munafik dan kafir, tahu mana carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga. Anggaplah fenomena Hasan Ali dan Nasharuddin bak biduk berlalu, kiambang harus bertaut.

No comments:

Post a Comment