PETALING JAYA 20 DIS : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa keluarga Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil telah membeli sebuah kondominium mewah bernilai hampir RM 10 juta di Singapura dengan sumber kewangan yang diragui.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menyatakan kondominium mewah beralamat 7, Anthony Road, Orchard Scotts, Singapore 229955 didaftarkan di bawah nama suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh serta anak - anak beliau, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh. Ia dibeli pada 27 Januari 2010.
Menurut Saifuddin, pihaknya tidak mempunyai bukti pembelian itu dibiayai dengan pinjaman RM250 juta kerajaan untuk projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
Bagaimanapun menurut beliau, pihaknya mempunyai bukti bahawa dana NFC disalurkan kepada syarikat peribadi milik keluarga Shahrizat seperti National Meat and Livestock Corporation (NMLC) dan Real Food Company (RFC).
"Carian rasmi menunjukkan ia(kondominium berkenaan) didaftarkan secara bersama di atas nama Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh.
Sebelum ini Pakatan Rakyat membuat beberapa dakwaan bahawa pinjaman kepada NFC telah disalah gunakan.
Dana itu didakwa telah digunakan untuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar berharga RM13.8 juta, kereta Mercedes berharga RM534,622, dua bidang tanah berharga RM3,363,507 di Putrajaya serta membiayai percutian ke luar negara.
Saifudin mempersoalkan bagaimana Shahrizat dengan gaji menteri, dan keluarga beliau yang mempunyai latar belakang perniagaan yang "tidak seberapa" mampu membeli unit sedemikian.
Justeru beliau mahu agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan pembekuan perbelanjaan syarikat tersebut sementara satu siasatan terperinci diadakan.
"Kami mendesak beliau mengambil tindakan segera membekukan kesemua akaun bank dan perbelanjaan NFC serta syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, sementara siasatan yang lebih telus dan serius dijalankan secepat mungkin.
Sementara itu, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli menyatakan kemungkinan berlaku pemalsuan tuntutan syarikat NFC kepada kerajaan dalam menuntut perbelanjaan dari geran dan pinjaman lembut (soft loan) kerajaan untuk NFC kerana pemindahan dan traksaksi wang berlaku tanpa kawalan sesiapa dari Kerajaan.
"Hanya ada dua kemungkinan. Wang dikeluarkan terus tanpa kawal selia, atau pun berlaku pemalsuan dokuman untuk 'claim' (tuntutan). Ini sudut yang kita minta sangat SPRM atau Polis siasat. kalaupun mereka rasa tak salah beli kondo, tapi ada elemen pemalsuan tuntutan.
No comments:
Post a Comment