Wednesday, 21 December 2011

Mahasiswa, NGO Berdemo Desak Saifuddin Undur


PUTRAJAYA, 21 DIS : Lebih 300 bekas mahasiswa dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berhimpun di perkarangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini hari ini untuk mengecam tindakan lebih 400 mahasiswa yang berhimpun di Kuala Lumpur Sabtu lalu dan menurunkan bendera gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat UMNO.

NGO yang terdiri daripada Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berhimpun bagi mendesak Timbalan Menteri (II) Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut dan meletak jawatan.

Mereka berkumpul sejak jam 2.30 petang dan melaungkan slogan mengutuk SMM, bebas serta parti pembangkang yang mengadakan Himpunan Mahasiswa Membantah AUKU sabtu lalu.

Pengerusi Aspirasi Mohd Shahar Abdullah berkata tindakan Saifuddin menerima memorandum yang diserahkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Kebebasan Akademik Mahasiswa (Bebas) menunjukkan seolah- olah Saifuddin 'merelakan' dan 'memberi galakan kepada kumpulan mahasiswa terbabit.

"Kita mendesak Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan dalam kabinet sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sekiranya dalam tempoh 14 hari tuntutan tidak dipenuhi sepenuhnya," kata beliau.

Aspirasi juga menuntut Saifuddin mendesak SMM dan Bebas meminta maaf secara terbuka kepada Najib berikutan tindakan kurang sopan menurunkan bendera gambar presiden Umno selama kira-kira lima minit di perkarangan Pusat Perdagangan Dunia Putra 17 Disember lalu.

Kumpulan tersebut turut menyelar mahasiswa dari Universiti Peendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim yang didakwa bertanggungjawab menurunkan bendera tersebut.

Yang DiPertua GMPS UPSI, Farhan Mukhlis menyatakan bahawa tindakan Adam tidak mencerminkan sentimen pelajar UPSI, sebaliknya mahu Adam dihukum dengan sewajarnya.

"Pelajar UPSI secara majoritinya menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Adam Adli tak  membawa nama UPSI. Itu tindakan individunya sendiri. Kami tak nak dikaitkan dengan tindakan tersebut. Kami mahu, jika benar dia (Adam Adli) buat, dia dikenakan hukuman sewajarnya dan setimpal.

Presiden Mahasiswa Pro Aspirasi UKM, Mohd Kamal Ali pula menyatakan mereka yang mahu memansuhkan AUKU tidak mewakili suara majoriti mahasiswa dinegara ini.

"(Bantahan terhadap) AUKU ini menunjukkan hanya pimimpin mahasiswa yang nak berpolitik. Kita lihat di UKM sendiri politik kampus berjalan seperti biasa. Buat apa nak berpolitik kepartian. Kita lihat hanya sekelumit pelajar ghairah nak berpolitik kepartian. Pro aspirasi sendiri berasa politik kampus kita sudah cukup harmoni.

Presiden Pergerakan Pelajar India 1 Malaysia Mahaganapathy Dass pula menyatakan betapa Bebas dan SMM langsung tidak mendapat sokongan dari mahasiswa kaum India dan dimanipulasi oleh mereka yang mempunyai agenda tersembunyi politik.

"Kami menyokong keamanan. Mahasiswa India menyokong keamanan dan mementingkan kemajuan masyarakat India, itu mesej kami.

Bagaimanapun Shahar menyatakan mahasiswa tidak terlibat dalam tuntutan agar Saifuddin meletakkan jawatan beliau sebaliknya hanya bersama dalam memberi sokongan terhadap Najib.

Memorandum menyokong Najib diserahkan kepada Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi Mohammad Khairi Malik manakala memorandum bantahan diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Saifuddin, Mohd Nazri Noh.

Mereka bersurai aman pada jam 4.15 petang dengan beberapa buah bas yang disewa khas.

http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJFi

No comments:

Post a Comment