Thursday 29 December 2011

Demonstrasi Jalanan Tidak Akan Ubah Keputusan Perundangan, Kata Rais


KUALA LUMPUR, 29 DIS : Perjalanan atau keputusan sebarang kes berkaitan perundangan negara tidak boleh diubah dan disangkal dengan cara berdemonstrasi, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Malah katanya, selain memikirkan tanggungjawab kepada masyarakat, mereka yang ingin berdemonstrasi juga perlu sedar tindakan tersebut tidak akan mempengaruhi serta berupaya merubah pendirian pihak mahkamah dalam membuat keputusan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa pihak mahu mengadakan demonstrasi sempena keputusan mahkamah berhubung kes liwat membabitkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari depan.

"Demonstrasi tidak mampu mengubah aliran atau aluran perundangan negara, jika itu yang mereka tuntut, maka kenegaraan kita akan hancur," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program Istana Budaya 2012 di Istana Budaya di sini, hari ini, Rais berkata seharusnya pihak yang berkenaan menerima hakikat dan menjadikan kes seorang bekas Menteri Besar yang didapati bersalah oleh mahkamah baru-baru ini sebagai rujukan bahawa keputusan perundangan tidak terbatas kepada golongan tertentu saja. 

"Jadi barang siapa yang terkena pada masa depan, mereka atau beliau harus terima sebagai hakikat...takkan dengan mengadakan demonstrasi jalanan maka semua hakim takut," kata Rais.

Beliau berharap masyarakat memberi dokongan kepada pembuat keputusan seperti Peguam Negara dan barisan hakim supaya tidak gentar membuat keputusan berdasarkan undang-undang yang sudah dihormati, didirikan dan dilaksanakan sekian lama. 

"Tinggal lagi jika mereka masih hendak berdemonstrasi itu adalah tujuan politik, bukan dalam bidang perundangan tanah air," katanya.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZZl

No comments:

Post a Comment