Saturday 31 December 2011

PKR Nafi Muslimat PAS Pinggirkan Isu NFC


WANGSA MAJU, 31 DIS : Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan bahawa sayap Muslimat PAS  meminggirkan diri dalam isu “kondo dan lembu”  Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin akur  pihaknya lebih menonjol  dalam memperjuangkan isu NFC tetapi menegaskan ini kerana  Muslimat Pas lebih aktif  membawa isu lain untuk diketengahkan.

Namun beliau tidak menjelaskan isu apa yang didokong oleh Muslimat PAS sehingga isu NFC tidak menjadi perhatian utama sayap wanita PAS itu. 

"Saya ingin menegaskan, muslimat Pas bersama- sama kami komited dalam menggerakkan laporan polis seluruh Negara (mengenai isu NFC)," kata Zuraida.

Beliau menafikan reaksi suram Muslimat Pas itu mungkin kerana tidak mahu diheret dalam membuat serangan peribadi terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sharizat Jalil.  

Suami Sharizat memiliki syarikat yang diberikan tender projek lumayan itu pada tahun 2007. 

PKR sebelum ini mendakwa  dana RM256 juta  dalam bentuk pinjaman dan geran  disalurkan sepenuhnya kepada NFC.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut bahawa projek ternakan lembu untuk daging oleh NFC gagal mencapai sasaran akibat kepincangan tertentu. 

Susulan laporan itu,  Zuraida dan pemimpin PKR lain mendakwa  NFC menyalah guna wang dengan membeli kondominium mewah di Bangsar dan Singapura, tanah di Putrajaya dan kereta mewah selain bercuti ke luar negara.  


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZpf

No comments:

Post a Comment