KUALA LUMPUR, 24 DIS : Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) malam tadi mengeluarkan satu kenyataan bahawa kehadiran pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) ke pejabat mereka bukanlah merupakan satu serbuan sebagaimana yang dilaporkan oleh hampir kesemua media massa.
Sebaliknya menurut kenyataan itu, kehadiran pegawai-pegawai SPRM adalah sebahagian daripada proses siasatan yang sedang berlangsung.
"Sebenarnya, pihak pengurusan dan staf NFC mengalu-alukan kehadiran pegawai-pegawai SPRM ke pejabat kami dan segala kerjasama penuh telah diberikan kepada SPRM.
"Oleh yang demikian, pada pandangan NFC, lawatan dan kedatangan kakitangan SPRM ke pejabat NFC bukanlah merupakan satu serbuan sebagaimana yang dilaporkan.
"Bagaimanapun, pihak syarikat berasa adalah tidak wajar sebarang kenyataan dikeluarkan pada masa ini kerana siasatan masih lagi diteruskan oleh pihak berkuasa," jelas kenyataan tersebut.
Sebelum itu media massa dan pelbagai portal berita melaporkan, pegawai-pegawai SPRM telah menyerbu pejabat NFC yang terletak di Jalan Solaris, Mont Kiara, kira-kira jam 2.50 petang semalam.
Lapan pegawai penguat kuasa yang berkunjung ke pejabat NFC itu adalah dari SPRM Putrajaya.
Kontroversi membabitkan NFC timbul berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada bulan Oktober, yang menyatakan bahawa NFC telah gagal untuk memenuhi sasaran penubuhannya, manakala pembangkang mendakwa terdapat penyelewengan dalam pengurusan dana NFC.
Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail adalah suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
SPRM juga sedang menyiasat sama ada Shahrizat turut terlibat dalam mana-mana bahagian yang melibatkan dana RM250 juta oleh kerajaan kepada NFC.
http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJZh
No comments:
Post a Comment