Friday 30 December 2011

AUKU : KPT Timbang Pinda Peruntukan Selain Seksyen 15, Kata Saifuddin


BANGI, 30 DIS:  Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 akan hanya dipinda dan bukan dimansuhkan sebagaimana yang dituntut oleh pembangkang dan beberapa pihak lain, tegas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
 
Bagaimanapun beliau berkata Jawatankuasa Pindaan AUKU di Kementerian Pengajian Tinggi akan menimbang untuk meminda peruntukan-peruntukan selain Seksyen15 yang dilihat mengekang hak asasi mahasiswa.
 
Ini termasuk hak mereka mendapatkan khidmat guaman apabila berdepan dengan tindakan tata tertib oleh pihak universiti.
 
Menurut Saifuddin, pemansuhan AUKU sekali gus akan sama ada menimbulkan polemik baru mengenai urus tadbir institusi pengajian tinggi awam atau mengembalikan negara ke zaman sebelum  AUKU diwujudkan pada tahun 1971.   
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan Seksyen 15 AUKU akan dipinda bagi membolehkan mahasiswa dan pensyarah menyertai parti politik, sejajar dengan hak asasi mereka.
 
Namun pembangkang dan beberapa gerakan mahasiswa menuntut akta itu dimansuhkan sama sekali kerana mendakwa ia mengekang kebebasan pelajar dan pensyarah serta membantut  kebebasan ilmiah di universiti.  
 
“Kalau dimansuhkan AUKU,ada dua perkara dibincangkan di sini. Satu, ada sebuah akta baru yang menggantikan AUKU atau yang keduanya ialah kembali kepada zaman sebelum adanya AUKU pada tahun 1971,” kata Saifuddin.
 
“Pendirian rasmi Kementerian ialah meminda dulu Seksyen 15, namun kita harus mendengarlah pandangan daripada semua pihak,” katanya pada satu sidang media selepas sesi meja bulat  kedua AUKU malam tadi.
 
Ia dihadiri  bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
 
Di majlis itu, dua gerakan berkenaan  membangkitkan isu-isu seperti hak pelajar yang berdepan dengan tindakan tata tertib yang di luar daripada Seksyen 15 AUKU  dan  harus di mansuhkan,
 
“(Dalam)  Seksyen 16 seorang mahasiswa itu tidak dibenarkan diwakili oleh peguam apabila berdepan dengan Lembaga Tatatertib Universiti sedangkan bagi seorang pensyarah di bawah akta yang lain, mereka dibenarkan untuk diwakili oleh peguam ketika dihadapkan ke Lembaga Tatatertib,” kata Saifuddin.
 
ABIM berkata peruntukan Seksyen 16 AUKU itu  bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada setiap orang yang menghadapi tuduhan untuk mendapatkan khidmat guaman.
 
Badan itu mahukan AUKU sepatutnya dipinda bagi memasukkan peruntukan yang membenarkan seseorang pelajar diwakili oleh peguam pilihannya sendiri jika dibicarakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Universiti.
 
Saifuddin berjanji kegusaran itu akan ditangani oleh Jawatankuasa Pindaan AUKU.
 
“Ini maknanya laporan saya pada jawatankuasa nanti, jawatankuasa pindaan AUKU nanti akan menyebut perkara-perkara sedemikian, macam dalam meja bulat pertama itu banyak disebut karenah birokrasi.
 
“Saya katakan tadi ada perlembagaan universiti yang kurang demokratik, ada universiti yang ada Aku Janji yang lebih tegas daripada Seksyen 15 itu sendiri dan itu pun perlu diambilkira terutamanya sikap pentadbir, label-melabel mahasiswa dan itu semua perlu diambilkira,” katanya.
 
Dalam perkembangan yang sama, Presiden ABIM, Amidi Abd Manan berkata AUKU telah menghalang pembentukan cirri-ciri kepimpinan, jati diri dan pengasahan minda di kampus.
 
“Kalau kita lihat,  barisan kepimpinan negara hari ini banyak lahirnya dari keadaan semasa sebelum AUKU ini duwujudkan. Kalau kita lihat mereka banyak menyumbang kepada pembangunan negara dan saya kira tidak perlu ada rasa musykil dan takut,” katanya.
 
Setiausaha Agung PKPIM, Mohd Shazni Abdullaht mahukan mahasiswa diberikan ruang yang secukupnya untuk mempersiapkan diri dengan cirri-ciri kepimpinan yang terserlah.
 
“Kita menyahut seruan kerajaan dan menyambut baik dalam pindaan akta ini untuk sama-sama kita berikan kebebasan kepada seluruh mahasiswa untuk lebih berkarya dalam apa jua untuk sama-sama melontarkan idea dan menjadikan mahasiswa itu cemerlang dalam seluruh aspek,” katanya.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZdn

No comments:

Post a Comment