Friday 23 December 2011

Masih Adakah Sinar Dalam Kerjaya Politik Khir Toyo?

KOMENTAR : Pensabitan Dr Mohd Khir Toyo atas tuduhan rasuah dan hukuman penjara setahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini boleh dianggap kemuncak kempen Pakatan Rakyat untuk menyerlahkan beliau sebagai seorang korup.
 
Pakatan Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat menjadikan Khir Toyo sebagai modal utama dalam kempen pilihanraya umum ke 12 tahun 2008 bagi menimbulkan rasa benci rakyat bukan sahaja terhadap mantan Menteri Besar Selangor itu tetapi juga UMNO dan Barisan Nasional.
 
Dua lot tanah dan sebuah rumah yang disebut sebagai “Istana Khir” digunakan untuk menyerang bukan sahaja Khir tetapi juga kerajaan BN di peringkat negeri mahupun persekutuan.
 
Pensabitan beliau  hari ini  di atas tuduhan menggunakan pejabat Menteri Besar untuk membeli hartanah itu di bawah paras harga pasaran mungkin dianggap sebagai penutup tirai kepada jangka hayat politik Khir.
 
Tidak ramai ahli politik yang berupaya  merekacipta kerjaya politik mereka setelah disabit kesalahan jenayah di mahkamah, jarang ada ahli politik dengan lapan nyawa atau lebih tepat,  menyerupai  susur galur hidup Ketua Pembangkang Datuk Seri  Anwar Ibrahim.
 
Namun Khir menunjukkan iltizam yang agak kental untuk tidak mengalah. Beliau bukan saja mengemukakan rayuan terhadap penghakiman hari ini tetapi juga berhajat menghuraikan masa depan politiknya pada 9 Januari depan.
 
"Ini adalah kes deklasifikasi pertama dalam negara kita dan bukan sahaja di negara kita malah di India dan juga di Britain. Ia bukanlah penghakiman yang terakhir dan saya akan buat rayuan di Mahkamah Rayuan. Saya akan terus berjuang untuk membersihkan nama saya," kata Khir.
 
Selang beberapa minit kenyataan itu, pelbagai pihak membuat andaian bahawa tarikh 9 Januai yang dipilih oleh Khir bersangkut paut dengan tarikh penghakiman kes liwat kali kedua terhadap Anwar.
 
Sepanjang tempoh lapan tahun beliau menjadi Menteri Besar Selangor (2000-2008),  Khir memaparkan dirinya sebagai seorang yang berkebolehan dalam mengurus dan mengekalkan rekod Selangor sebagai negeri paling maju di Malaysia.
 
Saban tahun,  ribuan penduduk daripada negeri lain, khususnya pantai timur, Sabah dan Sarawak berhijrah ke Selangor untuk mencari kerja dan membina hidup baru.
 
Shah Alam tumbuh pesat diwarnai bangunan-bangunan tinggi dan Masjid Negeri yang setanding dengan Kuala Lumpur mahupun Putrajaya.
 
Namun dalam kempen-kempen yang dibawa oleh pembangkang, yang dijadikan modal adalah konsesi air yang memberikan keuntungan lumayan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor dan Puncak Niaga yang diuruskan oleh Tan Sri Rozali Ismail.
 
Isu konsesi air,  Istana Khir dan isu merobohkan kuil akhirnya membawa padah kepada Khir dan Umno Selangor. 
 
Ketiga-tiga isu berkenaan, ditambah dengan pimpinan lemah mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dalam keadaan ekonomi yang merudum akhirnya membolehkan Pakatan Rakyat merampas kubu kuat Barisan Nasional pada PRU-12. .
 
Dakwaan-dakwaan terhadap Khir yang berakhir dengan pensabitan dan hukuman penjara hari ini menjadkan UMNO semakin ketandusan pimpinan di peringkat negeri.
 
Walau dicemari dengan pelbagai tuduhan, Khir adalah seteru politik yang cukup gagah kepada Pakatan Rakyat.
 
Soalan-soalan dan pengamatan beliau mengenai urus tadbir kerajaan negeri Pakatan Rakyat selama beliau  menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Negeri Selangor berjaya menzahirkan kepincangan-kepincangan dalam pakatan pembangkang itu.
 
Jika Khir terpaksa berundur daripada gelanggang politik berikutan  keputusan mahkamah hari ini, Pakatan Rakyat berjaya “mendiamkan” seorang daripada musuh politik utamanya, manakala Umno Selangor terpaksa berusaha lebih gigih untuk menawan semula Selangor. 
 
Namun dalam politik, apa sahaja boleh berlaku, Pada usia 46 tahun,  mungkin masih terlalu awal untuk  memadamkan nama Khir Toyo daripada silang kata politik negara ini.

No comments:

Post a Comment