Monday 26 December 2011

Wakil Rakyat Kota Raja Jawab Isu Demo Penduduk


SHAH ALAM, 26 DIS : Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud yang didakwa tidak pernah turun padang bagi menyelesaikan masalah banjir penduduk Kampung Batu 5, Jalan Bukit Kemuning menegaskan beliau tidak pernah menerima aduan bersabit permasalahan itu.

Sehubungan dengan itu, beliau menganggap tindakan penduduk yang terus mengadakan demonstrasi, tanpa merujuk kepada dirinya terlebih dahulu, sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Beliau kemudiannya mencabar penduduk kampung untuk mengemukakan bukti jika benar, aduan telah dibuat namun pihaknya tidak mengendahkan aduan tersebut.

"Semalam ketua kampung panggil mereka dan 60 orang pergi, mereka tak ada persatuan atau jawatankuasa dan tak pernah buat aduan. Saya turun banyak tempat banjir bersama pegawai JPS dan MBSA. Tapi di kawasan mereka saya tak pernah turun sebab tak pernah dipanggil.
"Bagi saya tak betul. Beritahu saya tarikh bila yang dia datang ke pejabat? Kalau dia buat laporan polis apa gunanya? Kalau betul dia nak selesaikan masalah, pertama kepada MBSA, kedua kepada Ketua Kampung, ketiga kepada ADUN dan keempat kepada saya. Tapi bila tak ada aduan jadi tak ada apa-apa masalah yang pernah ditimbulkan," jelasnya.
Dr. Mariah ketika dihubungi AntaraPos.com berkata, beliau mengakui hakikat bahawa beliau tidak pernah turun dikampung terbabit sejak menjawat jawatan wakil rakyat pada 2008 yang lalu.

Namun beliau bertegas, ini kerana pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk dan menganggap mereka tidak dibelenggu sebarang permasalah seperti itu.

"Takkan 3, 4 tahun baru mengalami banjir. Kenapa baru hari ini baru nak tunjuk perasaan. Banyak tempat kita turun bersama jabatan. Saya seorang memang tak boleh buat apa, kena ada bersama pegawai jabatan," katanya.
Dr. Mariah berkata, selepas ini pihaknya akan mengambil langkah awal dengan mengarahkan pegawai yang berkenaan untuk mengenalpasti punca masalah banjir yang berlaku di kawasan itu.

"Pihak saya dan ketua kampung akan berjumpa dan akan meminta mereka buat jawatankuasa mereka dulu. Sementara kita minta MBSA untuk turun melihat apa yang tersumbat dan sebagainya. Itu langkah awal.
"Kawasan ini besar. Kawasan batu 5 itu juga memang di situ ada parit, sungai, jadi kita akan tengok balik. Memang saya tak pernah pergi ke situ. Biasalah semua tempat yang membuat aduan kita pergi. Bagi kita yang tak buat apa-apa aduan kita anggap tak ada apa-apa lah," katanya.

Sebelum ini, penduduk kampung Batu 5 ini membuat demonstrasi bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Dr. Mariah dan ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafie yang dikatakan tidak pernah turun padang mendengar masalah mereka.

Difahamkan juga penduduk setempat telah membuat beberapa laporan polis ke atas Shuhaimi dan Dr Siti Mariam kerana gagal menjalankan tugas yang diberi.

Seorang penduduk, Mohd Siva Abdullah, pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, Dr Mariah dan Shuhaimi berjanji akan menyelesaikan masalah penduduk terutama sekali masalah banjir kilat yang dihadapi sejak 20 tahun lalu.

Malangnya, setelah kedua-dua wakil rakyat itu diberikan mandat oleh rakyat, mereka langsung tidak turun ke kawasan tersebut untuk melunaskan janji yang ditabur. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJhl

No comments:

Post a Comment