Thursday 22 December 2011

"Saya Patuh Arahan Parti" - Saari Sungib


SHAH ALAM, 22 DIS : Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib berkata beliau patuh pada arahan PAS Pusat dan akan hadir bagi memberikan penjelasan bersabit tindakannya mengumumkan jumlah pencalonan wakil rakyat PAS negeri Selangor baru- baru ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dakwaan bahawa tindakannya itu seolah- olah membelakangkan parti sekaligus mengundang reaksi balas daripada ADUN Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali.

"Saya patuh pada arahan parti. Saya akan hadir memberikan penjelasan. Saya akan menjawab apa sahaja yang ditanya pihak jawatankuasa.

"Saya tidak mahu komen mengenai isu itu, saya hanya akan menjawab apa yang ditanya parti. Dan saya akan bagi kenyataan (pada media) selepas beri penjelasan pada parti," kata Saari.

Saari sebelum ini bertindak mengumumkan Hasan tidak mendapat pencalonan mencukupi bagi membolehkannya dicalonkan sebagai calon PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 13 akan datang.

Hasan kemudiannya membidas Saari dan menyifatkannya bertindak membelakangkan parti. Kritikan Hasan yang pada mulanya berkisar isu pencalonan mula melimpah kepada dasar- dasar perjuangan PAS.

Beliau mendakwa PAS sudah tersasar dari landasan asal perjuangannya dan menuntut agar kumpulan ulamak kembali diletakkan sebagai barisan hadapan parti bukannya golongan profesional.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bingkas menyelar Hasan dengan menyifatkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu kecewa kerana tidak mendapat sokongan dan beliau bebas untuk meninggalkan parti.

Dengan tidak semena- mena, bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa turut diheret dalam pertelingkahan pendapat ini apabila dituduh terperagkap dalam agenda Umno.

Nasharuddin dalam kenyataan medianya menegur Mustafa Ali dan menegaskan beliau tiada niat langsung untuk meninggalkan PAS dan menyertai Umno.  

Lewat petang semalam, PAS Pusat memutuskan untuk memanggil Hasan, Nasharuddin dan Saari bagi mendapatkan penjelasan bersabit isu itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata arahan memberi penjelasan itu perlu dibuat agar isu- isu yang dibangkitkan mereka tidak mengganggu persediaan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

"Parti perlu dapat penjelasan daripada mereka. Kalau mereka tak mahu bagi penjelasan, parti akan ikut prosedur yang sedia ada. Bukan jawatankuasa disiplin yang panggil mereka. Ini hanya jawatankuasa PAS Pusat yang ingin tahu penjelasan tindakan mereka," katanya.

Tuan Ibrahim ketika dihubungi Antara turut menyatakan penghargaan parti kepada Nasharuddin yang secara terbuka menyatakan taat setianya kepada PAS dan tidak sesekali berniat untuk melompat masuk Umno.


http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJNj

No comments:

Post a Comment