Wednesday 28 December 2011

Hasan Ali, Nasharuddin Mohon Maaf Kepada Nik Aziz


BACHOK, 28 DIS : Musyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap isu membabitkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan dan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang lantang mengkritik parti itu sebelum ini sudah selesai dan tidak berbangkit lagi.

Nik Aziz berkata, ini kerana kedua-dua pemimpin PAS itu terutama Hasan telah meminta maaf kepada parti dalam satu "pertemuan muhibah" yang diadakan di kediaman rasmi menteri besar itu di JKR 10 semalam.

“Saya melahirkan kesyukuran di atas rasa rendah diri Datuk Hasan Ali yang bersedia membuat permohonan maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.

“Bukan mudah orang nak mengaku salah selepas melakukannya, jadi tindakan beliau itu mengharukan saya.

“Saya juga berharap orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Hasan,” kata Nik Aziz selepas melawat kesan hakisan ombak di Pantai Irama Bachok hari ini.
 
Bagaimanapun Hasan Ali ketika dihubungi Antarapos.com enggan mengulas permohonan maaf tersebut dan hanya akan mengeluarkan kenyataan media. 

Hasan dan Nasharudin baru-baru ini lantang mengkritik PAS yang disifatkan mereka telah lari daripada perjuangan asal untuk menubuhkan negara Islam, namun Hasan kemudiannya telah memohon maaf mengenai perkara itu.

Nik Abdul Aziz berkata beliau telah meminta PAS pusat agar mengadakan jamuan kesyukuran bagi menandakan tamatnya isu berkenaan.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Nasharudin sebagai calon, beliau berkata: "Terpulang kepada pengundi di Bachok (sama ada mahu menerima atau sebaliknya)".

Antara pemimpin yang ditemuinya adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZRm

No comments:

Post a Comment