Friday 30 December 2011

Aziz Bari : Saya Ditawarkan Bertanding, Bukan Tawar Untuk Bertanding


SHAH ALAM, 30 DIS : Pakar Perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari hari ini membayangkan beliau akan menerima perlawaan parti komponen Pakatan Rakyat untuk bertanding kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu menegaskan beliau tidak mahu berkecimpung dalam politik untuk mengejar jawatan dalam parti, sebaiknya bertekad memainkan peranan berkesan di Parlimen.

Aziz berkata beliau bersedia membantu memartabatkan sistem dua parti di negara ini, khususnya dalam proses penggubalan dan perbahasan undang-undang di Dewan Rakyat.

" Saya nak sebut, saya hendak masuk (menjadi calon) apabila sudah hampir Pilihan Raya Umum. Saya bukan masuk politik sebab nak jadi Ketua Cabang, Ketua Bahagian atau Ketua Kawasan, saya bukan hendak masuk politik dalam konteks itu.

" Saya kalau hendak masuk (politik) pun, saya hendak bertanding sahaja dan itu tidak semestinya (dengan menjadi) orang parti. Cuma kalau parti terima saya dan mereka mempromosikan saya sebagai seorang calon, saya sanggup.

" (Saya masuk) dalam konteks untuk mencari perubahan, tapi bukan dalam konteks untuk menjadi laksamana. Jadi, bahasa masuk politik itu kena faham lah. Bukan maksud saya hendak berebut macam orang parti, hendak tubuh cawangan, bawa pengundi hantu, bukan macam itu,"tegas beliau.

Aziz berkata demikian mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik beliau sebagai menawarkan diri bertanding pada pilihan raya umum akan datang untuk Pakatan Rakyat.
 
" Saya tidak tawar diri, saya ditawarkan, jelas Aziz kepada antarapos.com.

" Kalau menawarkan, saya pun tidak mahu. Kalau bergaduh untuk dapatkan kerusi, buat apa. Tak ada kerja," ujarnya.

Aziz berkata beliau mendokong perjuangan Pakatan Rakyat tetapi menegaskan beliau tidak mahu terjebak dalam politik dalaman mana-mana parti.

Pemuda Pas sebelum ini mengundang Aziz secara terbuka untuk menyertai parti itu dan kenyataan beliau hari ini mengesahkan dirinya juga dipancing oleh Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).


" Saya komited kepada idea untuk memperkasakan sistem dua parti dan yang keduanya, saya setuju dengan komitmen Pakatan Rakyat kepada Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kepada apa yang mereka tawarkan dalam Buku Jingga," kata beliau.

Laporan di blog-blog menyebut Aziz kini aktif "berkempen" di kawasan Sabak Bernam, Selangor.

Ditanya mengenai kesahihan berita itu, Aziz berkata,"saya percaya kepada politik dan di dalam politik, kita kena balik ke akar umbi, jadi lebih baik kembali ke kawasan asal kita,"katanya.  Beliau berasal daripada kawasan itu.

Parti Keadilan Rakyat dipercayai akan sekali lagi bertanding kerusi itu pada pilihanraya umum akan datang.

Pada pilihanraya umum yang lalu, Abdul Rahman Bakri dari UMNO menang dengan 12,055 undi berbanding Badrul Amin daripada PKR  yang mendapat 10,720 undi.

Aziz mencetus kontroversi apabila mengulas tindakan Sultan Selangor bersabit  pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas bangunan milik Gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Beliau yang sering muncul di pentas pembangkang digantung tugas sebagai pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum  mengambil keputusan untuk meletak jawatan yang berkuatkuasa esok.

Aziz berkata persekitaran kampus dan keadaan politik semasa mengekang beliau untuk sebagai pensyarah dalam memberikan pandangan secara bebas dan berilmiah mengenai isu-isu penting.

Pengkritik beliau, menyifatkan Aziz sebagai menaruh cita-cita politik dan lantang menggesa beliau supaya terus menjadi ahli politik sepenuh masa.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZhm

No comments:

Post a Comment