Sunday 25 December 2011

Hasan Ali : Bukan Saya Tapi Mustafa Yang Jumpa Pemimpin UMNO


KUALA LUMPUR, 24 DIS : Exco Selangor Datuk Dr Hassan Ali menafikan sekeras-kerasnya beliau bertemu dengan mana-mana pimpinan UMNO, sebaliknya menunding jari kembali kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang melontar tuduhan itu, sebagai pihak yang mengadakan perjumpaan sulit sedemikian.

"Setahu saya yang ada ialah pertemuan yang ....berulang kali antara Setiausaha Agung dengan pemimpin-pemimpun Tertinggi UMNO. Bahkan terdapat permohonan daripada Setiausaha Agung sendiri untuk bertemu seorang pemimpin tertinggi UMNO yang sehingga kini setakat yang saya maklum, belum dapat diadakan," kata Hasan dalam sidang media khas di kediamannya di Pinggir Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini.
 
Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut pendedahannya dan mahu media bertanya kepada Mustafa mengenai dakwaan tersebut.
 
Hasan berkata jika pimpinan Pas mahu menyiasat tuduhan Mustafa bahawa beliau (Hasan) berjumpa pemimpin UMNO, maka siasatan sama harus di lakukan terhadap Mustafa.
 
Dua hari lalu, Mustafa berkata pihaknya tahu bahawa Hasan mengadakan pertemuan dengan seorang pemimpin UMNO di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur Ramadan lalu setelah menuduhnya terjebak dalam agenda UMNO.
 
"Saya hendak berhenti setakat itu seperti mana Datuk Mustafa Ali berhenti dari menuduh saya bertemu dengan pemimpin UMNO di Hotel Meridien. 
 
"Kalau misalnya, nak tanya lebih lanjut, terpulang kepada pimpinan (Pas) untuk buat siasatan lanjut. Kalau nak siasat pertemuan saya, siasatan sama juga harus dilakukan kepada pertemuan Setiausaha Agung dan Pemimpin UMNO," kata beliau.
 
Beliau turut menyindir tindakan Mustafa yang bertindak seolah ketua perisik dalam menyiasat perlakuan ahli dan pemimpin Pas.

"Saya ingin mendapat pengesahan daripada Setiausaha Agung, sejak bila Pejabat Setiausaha Agung menubuhkan unit risikan dan intipan di pejabat Setiausaha Agung Pas. Saya juga ingin tahu mengenai keperluan tugasan merisik dan mengintip dalam konteks menjaga kesatuan dan perpaduan dalam parti," kata beliau.
 
Hasan turut menyatakan beliau masih belum menerima surat rasmi untuk bertemu beliau sehingga kini namun bersedia untuk berjumpa pimpinan tertinggi Pas pada bila-bila masa.

"Saya bersedia bertemu pimpinan pada bila-bila masa. Panggil lepas Subuh saya datang, panggil tengah malam pun saya datang kerana saya patuh pimpinan. Kedua kerana saya memerlukan pandangan pimpinan mengenai polemik yang berlaku. Ketiga saya juga mempunyai pandangan dan input-input untuk disampaikan kepada kepimpinan tertinggi parti,"katanya. 


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJZm

No comments:

Post a Comment