Thursday 29 December 2011

Zahid Sedia Jelas Isu Enam Kapal Peronda


KUALA LUMPUR, 29 DIS : Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempelawa Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim untuk bertemu beliau supaya dapat menjelaskan dakwaan mengenai pembelian enam kapal peronda tentera melalui orang tengah. 

Menurut Zahid, kementeriannya sentiasa bersikap terbuka untuk menjawab persoalan yang seumpama itu supaya rakyat tidak mendapat maklumat yang salah. 

Zaid sebelum ini mendedahkan butiran pembelian enam kapal peronda tentera oleh tiga ejen yang dibayar RM11.36 juta bagi tujuan "bantuan teknikal" berhubung pembelian kapal tentera daripada firma Perancis, DCNS. 

Beliau sebelum ini yang enggan mendedahkan sumber maklumat itu mendakwa, firma perunding itu menerima bayaran dalam matawang euro melalui akaun di Singapura daripada 2010 hingga April 2011. 

Menurut satu invois bertarikh 25 Oktober 2010, salah satu daripada firma berkenaan didakwa menerima 935,000 euro sebagai bayaran "perkhidmatan teknikal." 

Dokumen itu menyenaraikan perkhidmatan berkenaan, termasuk konfigurasi infrastruktur, kejuruteraan dan penilaian sistem serta rundingan komersil untuk projek "Second Generation Patrol Vessel." 

Invois daripada sebuah syarikat yang didakwa berpengkalan di Paris itu dialamatkan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, yang memenangi kontrak bagi enam kapal berkenaan. 

Bayaran berkenaan didakwa telah dibuat dalam dua bahagian, masing-masing pada 28 Oktober dan 1 November tahun lalu. 

Berdasarkan dokumen tersebut, syarikat yang sama didakwa telah mengeluarkan invois untuk perkhidmatan sama pada 3 November 2010 untuk jumlah 986,000 euro dan dibayar pada bulan tersebut. Satu lagi syarikat, Setaria Holdings Limited, didakwa turut menghantar invois berjumlah 850,000 euro kepada Boustead Naval Shipyard.

Syarikat yang dikatakan berpengkalan di Brussels itu juga didakwa mengeluarkan dua lagi invois kepada Boustead Naval Shipyard untuk bayaran berjumlah 832,000 euro dan 725,000 euro.



LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZVo

No comments:

Post a Comment