Tuesday 27 December 2011

Wartawan The Star : "Saya Lapor Apa Yang Ramasamy Cakap"


KUALA LUMPUR, 27 DIS : Wartawan akhbar The Star, Ian Mcintyre mempertahankan  laporan beritanya bersabit kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy yang mendakwa terdapat pemimpin DAP negeri itu terlibat dengan penyelewengan dan usaha menyingkirkannya dari parti.

Beliau berkata, segala butiran yang dilaporkan adalah berdasarkan persetujuan Ramasamy ketika sesi temubual diadakan di tingkat 51, Bangunan Komtar pada 21 Disember lalu.Sesi temubual itu turut disertai dua wartawan portal berita, Malaysiakini.

Ian berkata, Ramasamy tanpa berselindung menjawab segala soalan yang diajukan kepadanya yang berkisar mengenai dakwaan penyelewengan melibatkan beberapa pimpinan DAP, dakwaan hubungan sulitnya dan juga perkara- perkara berbangkit yang melibatkan komuniti setempat.

"Ramasamy ada menyatakan nama- nama individu dalam parti yang ingin menyingkirkannya dari DAP, namun saya memilih untuk tidak mendedahkannya," jelas Ian.

Semalam, Ramasamy menafikan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan kononnya terdapat penyelewengan dikalangan pimpinan DAP.

Beliau juga menafikan kenyataan bahawa terdapat usaha untuk menyingkirkan dirinya daripada parti.

Beliau kemudiannya menunding jari kepada wartawan The Star kononnya kenyataannya diputar belit.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Saya yakin 99 peratus daripada perbualan berkenaan hanya berkisar berkenaan pembangunan Pulau Pinang dan tidak melibatkan sebarang tuduhan terhadap pemimpin DAP,” kata Ramasamy.

Tambahnya lagi, kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar itu tidak berasas dan dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Ramasamy berkata akibatnya pertelingkahannya dengan Ketua DAP Pulau Pinang, Karpal Singh semakin parah sehinggakan beliau didesak agar meletak jawatan.

Menurut Ramasamy lagi, wartawan terbabit turut menyemak semula kenyataannya dan mengesahkan beliau tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian.

ADUN  Seri Delima RSN Rayer hari ini menyifatkan kritikan Ramasamy terhadap parti dan pemimpin hanya untuk kepentingan dirinya sendiri.

Beliau kesal dengan perbuatan Ramasamy itu yang menunjukkan bahawa beliau (Ramasamy) tidak langsung menghormati kepimpinan parti seperti Lim Kit Siang (Penasihat DAP), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung) dan Dr Chen Man Hin (Penasihat Seumur Hidup) .


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56clp7eaejbqoeYmXKm

No comments:

Post a Comment