Friday 30 December 2011

PKR Ugut Lapor Polis Jika Jamil Masih Membisu


SHAH ALAM, 30 DIS : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom diminta untuk menjelaskan kontroversi bersabit tindakannya menggunakan kutipan wang zakat berjumlah RM63,650, untuk membiayai kos guaman bagi pertuduhan Qazaf yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut didakwa menggunakan kutipan wang tersebut adalah Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata penjelasan Jamil bersabit isu itu amat dinantikan bagi mengelakkan nama baiknya sebagai Menteri yang menjaga porfolio agama tidak tercemar.

Nik Nazmi berkata Jamil perlu bersuara bagi meleraikan kekeliruan akibat percanggahan kenyataan daripada beberapa individu.

Pada 21 Jun 2011, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (timbalan Jamil sendiri) mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat.

Mashitah berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution di dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Dewan Rakyat.

Pada 23 Jun 2011 peguam Zainul Rijal Talha dan Amir meminta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan tentang penggunaan wang zakat bagi membiayai kos guaman.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada 21 November 2011, mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010.

Keputusan menggunakan wang tersebut adalah kerana pemberian geran kerajaan bernilai RM700,000 pada 22 Jun 2010, tidak dapat menampung pembayaran yuran guaman tersebut.

Namun Ambrin menjelaskan penggunaan wang zakat itu diganti semula pada hujung tahun 2010 setelah proses ‘pelarasan semula’. 

Nik Nazmi juga meminta Che Mat menjelaskan prosedur yang digunapakai MAIWP sehingga membawa kepada kelulusan menggunakan wang kutipan tersebut.

"Mungkin ada yang menganggap RM63,650 ini kecil berbanding skandal-skandal seperti PKFZ (RM12 bilion) dan NFC (RM250 juta). 

"Namun isu ini membabitkan wang zakat yang merupakan salah satu rukun Islam yang penting," kata Nik Nazmi.

Beliau juga berkata, PKR akan membuat laporan polis pada minggu hadapan jika Jamil masih memilih untuk berdiam diri dan enggan meleraikan kekusutan ini.

"Ketika pihak berkuasa setiap tahun berbangga dengan kadar kutipan zakat dan menggesa umat Islam membuat bayaran zakat menerusi agensi zakat yang rasmi, Jamil ada tanggungjawab untuk menjernihkan keadaan," jelasnya lagi.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZdm

No comments:

Post a Comment