Tuesday 27 December 2011

Pas Jamin Periuk Nasi Artis, Atlit dan Selebriti


SHAH ALAM, 27 DIS : Pas akan memastikan industri hiburan dinegara ini sesuai dengan tuntutan Islam jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, dengan melakukan perubahan secara beransur- ansur tanpa paksaan.

Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, Islam tidak menghalang hiburan namun ia mestilah mengikut syariat dan tidak melanggar batas- batas yang ditetapkan.

Semalam, Nasruddin menerusi laman Twiteernya berkata "Artis, atlit dan selebriti usah bimbang masa depan dan periuk nasi mereka jika Pakatan Rakyat dimandat memerintah selagi tidak melanggar syariat".

"Timbul satu persoalan, kalau Pas tadbir, apakah artis tidak lagi boleh cari makan. Itu haram ini haram, Tidak boleh berlakon atau apa sahaja.

"Dalam Islam pun ada hiburan. Ada nyanyian, lakonan dan segala macam benda yang menghiburkan. Islam tidak pernah halang. Ia merupakan satu daripada cabang seni yang masih boleh diperbaiki," kata Nasruddin.

Nasruddin optimis bidang hiburan dinegara ini boleh diperbaiki dan diperindahkan dengan elemen- elemen Islamik jika betul pendekatannya.

"Apabila melaksanakan ajaran Islam, kita tidak boleh gelojoh. Kita kea mulakan dengan pendidikan sebab dalam Islam penuh dengan kerelaan dan tiada paksaan," katanya.

Beliau menambah, dunia hiburan negara sebelum ini tidak pernah terdedah kepada unsur keislaman. Namun unsur itu mula diterima yang menyaksikan semakin ramai artis dan selebriti Malaysia tampil dengan imej baru, iaitu bertudung.

"Alhamdullillah, semakin ramai artis kita memakai tudung. Malah, kita diberitahu, seorang pelakon dan penyanyi, Abby Abadi telah menghadiri majlis ilmu dengan penceramah bebas terkenal, Ustaz Idrus Azhar baru- baru ini," katanya lagi.

Ketika ditanya mengapa beliau bertindak mengeluarkan jaminan kepada golongan artis itu, beliau menegaskan, ia sekadar menjawab tomahan yang dilemparkan kepada Pas.

"Saya sekadar menjawab tomahan dan disini tidak timbul langsung isu mahu meraih undi atau tidak. Tapi memang kita mahu tarik orang kearah kebaikan," katanya.

Beliau kemudiannya menyatakan keyakinannya bahawa tindakannya mengeluarkan kenyataan itu dilaman maya akan mendapat dokongan rakan seperjuangannya selagi ia berpaksi kepada hujah dan nas yang betul.

"Bila saya bercakap atas dasar Islam, saya yakin ia akan diterima baik oleh rakan sepejuangan saya. Saya sentiasa terbuka menerima sebarang kritikan," jelasnya lagi.

Pas sebelum ini dilaporkan lantang membantah penganjuran konsert Greatest Hits Tour melibatkan artis gay, Alton John di Arena of Stars, Genting Highlands dan parti itu juga menentang penganjuran Konsert MTV World Stage di I-City Seksyen 7 Shah Alam baru- baru ini.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJpl

No comments:

Post a Comment