Sunday 25 December 2011

Mustafa : Biar Hasan Cakap Seorang Diri, Saya Tak Mahu Layan


SHAH ALAM, 25 DIS : Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali hari ini menegaskan beliau hanya akan mendiamkan diri bersabit dakwaan terbaru oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali bahawa beliau mengadakan "pertemuan yang berulang kali" dengan pimpinan tertinggi UMNO.

Menurut Mustafa, beliau akan mengotakan janjinya sebelum ini bahawa beliau akan berdiam diri sekiranya Hasan berhenti menyerang Pas dan membuat permohonan maaf terhadap parti itu. 

" Saya sudah berhenti bercakap. Saya sudah berjanji, dia berhenti serang Pas, saya berhenti bercakap. Jadi saya tak nak layan lagi cakap dia,"katanya memberitahu 
AntaraPos.com.    

Hasan semalam menarik balik kenyataannya menggesa Pas membatalkan hasrat menubuhkan Negara Berkebajikan.

Ujarnya, beliau akur bahawa konsep Negara Berkebajikan diluluskan pada muktamar parti lalu dan juga oleh Majlis Syura Pas.

Beliau juga turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Mustafa bahawa beliau dan Nasharudin Mat Isa telah mengadakan pertemuan dengan ahli UMNO dan tiga yang lain di Hotel Le Meridian pada bulan Ramadan lalu.

Bagaimanapun, Hasan mendakwa, Mustafa sebaliknya yang beberapa kali mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO. 

" Saya tak nak layan cakap dia. Saya berhenti lah bercakap. Apa-apa pun yang dia cakap, saya sudah berhenti bercakap. Kalau dia nak cakap, dia cakap seorang diri 
lah,"katanya lagi.

Hasan semalam turut menggesa Pas melakukan siasatan terhadap Setiausaha Agungnya sepertimana beliau, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungip yang dipanggil untuk memberi penjelasan bersabit kontroversi yang meletus dalam parti Islam itu.   

"Setahu saya yang ada ialah pertemuan yang berulang kali antara Setiausaha Agung dengan pemimpin-pemimpun Tertinggi UMNO. Bahkan terdapat permohonan daripada Setiausaha Agung sendiri untuk bertemu seorang pemimpin tertinggi UMNO yang sehingga kini setakat yang saya maklum, belum dapat diadakan," kata Hasan dalam sidang media khas di kediamannya di Pinggir Taman Tun Dr Ismail semalam. 

Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut pendedahannya dan mahu media bertanya kepada Mustafa mengenai dakwaan tersebut.


LINK : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJdm

No comments:

Post a Comment