Sunday 25 December 2011

Isu Tanah Di Ijok : MB Hanya Mahu Kita Dengar Cakap Dia, Kata Penduduk


KUALA SELANGOR, 24 DIS : Sekumpulan Penduduk Kampung Sri Aman Ijok berang apabila sesi soal jawab dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dibatalkan selepas pembentangan rancangan penyelesaian kerajaan negeri bersabit tuntutan hak milik tanah kediaman mereka.

Rata- rata mereka kesal dengan sikap Khalid yang enggan mendengar pendapat penduduk ketika sesi pertemuan di Pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor petang semalam.

Seorang penduduk B. Loganathan mendakwa Khalid, Pejabat Tanah Kuala Selangor serta Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) tidak memikirkan nasib keseluruhan penduduk apabila hanya 111 daripada 179 penduduk diberikan hak pemilikan tanah tersebut.

"Sekarang tanah mahu jual. Mana ada duit nak beli tanah. Sekarang cakap Tan Sri, dia mahu kita dengar tapi cakap kita dia tak mahu dengar. Mana boleh!

"Tak patut. Panggil kita tiga, empat kali, tak ada cuti mana boleh datang. Lepas itu satu lot dua nama. Hari ini pegawai semua nampak baik, bila pergi pejabat tanah, langsung tak layan," kata beliau kepada wartawan.

Seorang lagi penduduk, Anthony Samy Raju menyatakan kesedihan beliau kerana tidak tersenarai dalam senarai penduduk layak memiliki tanah tersebut walaupun telah menetap di situ hampir 20 tahun.

"Kerajaan (negeri) dulu tak boleh tolong, (kerajaan) sekarang pun sama. Kalau kerajaan sekarang tak boleh tolong India, baik gantung kita sahaja. Saya ada lapan orang anak, umur dah 53. Makan pun susah macam mana nak bayar RM20 ribu?  Dalam dompet saya 5 sen pun tak ada, macam mana nak bayar beribu-ribu? Tak baiklah buat macam ini. Kita kena hormat Melayu atau India semua," luah beliau.

Khalid dalam membentangkan rancangannya menyatakan kelewatan pentadbiran beliau dalam menyelesaikan masalah tersebut adalah kerana kes mahkamah yang melibatkan tanah di kampung tersebut.

Menurut Khalid, kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Barisan Nasional pada 16 Januari 2001 telah melantik syarikat Westmine Development Sdn Bhd sebagai kontraktor swasta bagi memajukan kawasan tersebut.

Bagaimanapun pada 2005, mereka lalu membatalkan rancangan tersebut dan menimbang semula untuk memberi pemilikan terus tanah tersebut kepada penduduk.

Hasilnya menurut Khalid, Westmine telah memfailkan tuntutan saman terhadap kerajaan negeri pada 2008 dan nasib tanah dan penduduk di situ hanya boleh ditentukan selepas Mahkamah membuat keputusan.

"Kerajaan negeri sekarang pada 2008 pergi mahkamah menyatakan perjanjian Westmine telah lupus. Keputusan ini kita hanya dapat pada 28 Oktober 2011.

"Dengan keputusan itu, kita tak perlu tunggu pengumuman mahkamah, kita turun pada 4 Disember untuk dapat persetujuan dengan penduduk," kata beliau dalam sidang media selepas itu.

Dalam skim baru itu juga, Khalid menawarkan tanah seluas 4 ribu kaki persegi kepada 111 mereka yang layak menurut bancian oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor.

Mereka diminta membayar premium sebanyak RM 1 ribu dan borang 5A akan diberikan pada minggu kedua tahun hadapan serta menandatangani borang yang mengesahkan mereka tidak terlibat dengan Westmine.

Khalid juga memberi pilihan untuk menjual tanah tersebut kepada kerajaan negeri dengan harga RM 5 sekaki persegi atau RM20 ribu.

Menjawab kepada keresahan penduduk, Khalid menyatakan bancian semula akan dilakukan kepada baki mereka yang tidak layak menerima tanah tersebut.

"Kita terbuka pasal perkara ini. Tapi kita nak selesaikan 111 orang terlebih dahulu. Dan yang lebih itu mesti ada sebab mereka tak terima. Kalau nak tunggu yang lain tak akan habis dalam seminggu dua. Jadi tak adil kepada 111 yang menunggu lama itu," kata beliau.


http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcJZk

No comments:

Post a Comment